Maybank IB kekal saranan 'beli' untuk Astro selepas ambil kira unjuran iklan lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal saranan 'beli' untuk Astro selepas ambil kira unjuran iklan lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research mengekalkan saranan 'beli' untuk Astro Malaysia Holdings Berhad pada harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.47 berbanding RM1.38 selepas mengambil kira unjuran pengiklanan yang lebih tinggi (adex).

 

Firma penyelidikan itu juga meningkatkan unjuran pendapatan Astro untuk FY2022 sebanyak 16% kesan daripada adex yang tinggi selain cukai yang rendah.

 

Firma itu menjangkakan keuntungan teras Astro adalah sebanyak RM121.6 juta iaitu pertambahan 27% dengan dividen sesaham (DPS) 2.5 sen ititu peningkatan sebanyak 1 sen berbanding suku ke suku.

 

"Keputusan positif yang dicatatkan Media Prima Berhad baru-baru ini memberi gambaran bahawa Astro akan mencatatkan yang hampir sama untuk FY2022 pada 31 Mac 2022.

 

"Kami mengekalkan saranan beli untuk Astro dengan sasaran pemberian dividen tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras Media Prima untuk 4QFY2021 adalah yang tertinggi dalam enam tahun dan pemberian DPS untuk 4QFY2021 adalah yang tertinggi dalam lima tahun

 

"Apa yang menarik minat kami ialah Media Prima sering dilihat sebagai pengukur sentimen pengguna kerana mereka sangat bergantung kepada adex.

 

"Kami mendapati keputusan positif Media Prima pada 4QFY2021 adalah petanda positif untuk Astro yang sebelum ini terkesan dengan sentimen lemah pengguna," katanya.

 

Firma itu berkata, berdasarkan kepada tafsiran Indeks Sentimen Pengguna langganan Astro untuk 4QFY2021 akan meningkat pada kadar sederhana manakala pendapatan untuk pengiklanan radio akan terus kukuh.

 

"Walaupun pengiklanan radio dan TV menyumbang 10% daripada pendapatan kumpulan namun sumbangan sebenar daripada kecakapan operasi mereka," katanya. - DagangNews.com