Maybank IB jangka pinjaman di bank-bank Malaysia meningkat dalam beberapa bulan akan datang walaupun OPR naik | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka pinjaman di bank-bank Malaysia meningkat dalam beberapa bulan akan datang walaupun OPR naik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan pinjaman di bank-bank Malaysia akan mencatatkan peningkatan dalam beberapa bulan akan datang walaupun kadar dasar semalan (OPR) meningkat.

 

Firma itu berkata, pada April lalu, segmen pinjaman mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu 4.5% dan ia berkemungkinan berpunca daripada cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.

 

Katanya, pertumbuhan itu adalah lebih perlahan berbanding 5% yang dicatatkan pada Mac 2023 dengan pinjaman isi rumah dan bukan isi rumah pada April adalah pada kadar 5.2% dan 3.5% berbanding 5.4% dan 4.3% pada bulan sebelumnya.

 

"Kemungkinan besar ia berpunca daripada cuti Hari Raya Aidilfitri yang menyebabkan tempoh bekerja menjadi lebih singkat. 

 

"Atas sebab sama, permohonan pinjaman menyusut sebanyak 12.7% pada April lalu berbanding pertumbuhan dua digit yang dicatatkan dalam tempoh dua bulan sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan deposit adalah lebih perlahan 4.2% pada April berbanding 4.6% pada Mac lalu.

 

Katanya, akaun semasa dan akaun simpanan bagaimanapun menguncup untuk bulan keempat berturut-turut sebanyak 6.4% berbanding penguncupan 1.8% pada Mac.

 

"Nisbah CASA industri menyederhana kepada 29% pada akhir April berbanding 29.2% pada akhir Mac dan 30.1% pada akhir Disember 2022.

 

"Persaingan sengit margin faedah bersih (NIM) yang disaksikan pada suku pertama 2023 dan berkemungkinan berterusan sehingga suku kedua," katanya.

 

Firma itu kekal positif terhadap sektor perbankan dan mengekalkan saranan 'beli' terhadap CIMB, AmBank, Alliance Bank, Hong Leong Bank dan RHB Bank. - DagangNews.com