Maybank IB jangka pendapatan Solarvest akan meningkat pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka pendapatan Solarvest akan meningkat pada FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Mac - Maybank Investment Bank (IB) Research menjangkakan pendapatan Solarvest Holdings Bhd. akan meningkat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23).

 

Firma itu yakin nilai kontrak bagi perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang kukuh berjumlah RM762 juta akan terus menyokong pertumbuhan sehingga FY24.

 

Pada masa sama, aset solar fotovoltaik (PV) kumpulan juga dijangka meningkat sebanyak 50 megawatt (MW) menjelang 2023, berbanding 1MW setakat ini.

 

"Apabila mencapai pentauliahan penuh, ia boleh menjana keuntungan bersih tahunan sebanyak RM8 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Solarvest telah memperoleh RM565 juta kontrak EPCC bagi membangunkan projek solar berskala besar 4 (LSS4) manakala selebihnya adalah projek solar di atas bumbung bagi kediaman, bangunan komersial dan perindustrian.

 

Kerja-kerja bagi projek ini dijangka siap menjelang akhir tahun hadapan.

 

"Kami juga memahami tender bagi LSS5 dijangka bermula tidak lama lagi, yang mana ia boleh membantu mengekalkan momentum nilai kontraknya. 

 

"Selain itu, kami juga menjangkakan hasil yang positif daripada tender 140MW di Taiwan," jelasnya.

 

Baru-baru ini, Solarvest melancarkan pelan 5 tahun kumpulan yang memnberi fokus untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam perkhidmatan EPCC solar, pembangunan aset boleh diperbaharui dan menerokai ekosistem tenaga bersih yang baharu.

 

Mengambil kira semua faktor ini, Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Solarvest dengan harga sasaran pada RM1.29.

 

Setakat 12.12 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 0.63% kepada 80 sen dengan 202,800 saham diniagakan. - DagangNews.com