Maybank IB jangka harga bahan mentah Berjaya Food menurun pada suku akan datang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB jangka harga bahan mentah Berjaya Food menurun pada suku akan datang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan kos bahan mentah Berjaya Food Berhad akan mencatatkan penurunan pada suku tahun akan datang.

 

Firma itu berkata, pihak pengurusan kumpulan menyatakan bahawa purata harga jualan (ASP) kopi menjadi semakin baik pada 4QFY23 dan percaya bahawa kos bahan mentah itu telah memuncak pada suku sebelumnya.

 

Katanya, kumpulan itu perlu membeli 60% bahan mentahnya daripada Starbucks International dan ASP bahan mentah (kopi, sirap berperisa dan bahan pembungkusa) diselaraskan setiap suku tahun dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

 

"Komponen bahan mentah terbesar kumpulan itu adalah kopi dan diikuti susu yang diperolehi dari sumber tempatan.

 

"Selepas menaikkan harga minuman sebanyak RM1 pada November 2022, kumpulan itu tidak merancang untuk menaikkan harga produk mereka akibat sentimen pengguna yang lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merancang untuk membuka 14 lagi kedai Starbucks pada 4QFY2023 untuk menjadikan jumlah kedai kepada 387 pada FY23.

 

“Dengan permintaan yang kekal stabil, kumpulan itu percaya ia boleh membuka 40 hingga 45 lagi kedai Starbucks pada FY24 bersama lima kedai Paris Baguette (PB) setahun.

 

“Terdapat dua kedai PB kini terletak di Pavilion KL dan Bukit Jalil. Kumpulan itu dikehendaki membuka sekurang-kurangnya 25 kedai Stabucks setahun berdasarkan perjanjiannya dengan Starbucks International,” katanya.

 

Firma itu menyemak naik saranan penarafan kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) 72 sen sesaham. - DagangNews.com