KUALA LUMPUR 9 Ogos - Sekretariat ASEAN dan Yayasan Maybank, di bawah Kumpulan Maybank, menganugerahkan Biasiswa ASEAN-Maybank (AMS) kepada lima pelajar ASEAN sempena sambutan Hari ASEAN ke-56 di Jakarta, Indonesia.
AMS adalah program biasiswa pertama di antara Sekretariat ASEAN dengan entiti bertauliah ASEAN, dan menandakan penglibatan tahun ke-6 Maybank bersama sekretariat.
Ketua Setiausaha ASEAN, Dr Kao Kim Horn berkata, ASEAN sentiasa memberi penekanan dan tumpuan kepada pelaburan anak muda.
"Matlamat akhir kami adalah untuk membangunkan dan memupuk generasi muda untuk menjadi pemimpin masa depan ASEAN.
"Kami berharap melalui kejayaan program Biasiswa ASEAN-Maybank, ia akan menjana minat sektor swasta dan yayasan lain, terutamanya yang berpangkalan di ASEAN.
"Untuk melangkah ke hadapan dan bekerjasama dengan kami bagi meningkatkan perkongsian awam-swasta (PPP) dalam membantu golongan muda di rantau ini dan menyumbang kepada pembinaan komuniti ASEAN," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, AMS yang dilancarkan pada 2021 disampaikan kepada lima pelajar dari Brunei Darussalam, Indonesia (2), Malaysia dan Vietnam oleh Kim Horn bersama Pengerusi Kumpulan Maybank dan Yayasan Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, yang turut disaksikan Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR).
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Izlyn Ramli.
Sementara itu, Khairussaleh berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN untuk memuktamadkan pengambilan program biasiswa pada tahun ini.
"Kami percaya dalam kepentingan untuk terus melabur dalam potensi belia kami dan menyediakan mereka dengan kepakaran yang diperlukan untuk berjaya, terutamanya dalam menyokong generasi muda untuk keperluan masa depan.
"Melalui AMS, ia membolehkan kami menyumbang secara strategik dalam pembangunan kemajuan ASEAN melalui pendidikan sambil memupuk rangkaian individu cemerlang yang akan membawa kita ke arah masa depan lebih cerah," katanya.
Katanya, kerjasama Maybank dengan Sekretariat ASEAN kekal penting sehingga hari ini, terutamanya dalam memacu pembangunan belia berimpak tinggi, dan kolaborasi ini diperlukan untuk meningkatkan kerjasama dan integrasi serantau.
Majlis anugerah ini turut meraikan pencapaian penerima biasiswa tahun ini dan menunjukkan kejayaan tiga penerima AMS kohort pertama dari Kemboja, Malaysia dan Myanmar pada 2022, yang telah mencapai kemajuan akademik cemerlang dan berkhidmat sebagai duta untuk ASEAN dan Maybank. - DagangNews.com








