Maxis, Teladan Setia bekerjasama perluas jalur lebar fiber di Melaka | DagangNews Skip to main content

Maxis, Teladan Setia bekerjasama perluas jalur lebar fiber di Melaka

Ketua Segmen Korporat Maxis, Wan Ahmad Kamal Wan Halim (dua dari kiri) dan Francis Sia (dua dari kanan) ketika majlis memeterai perjanjian jalur lebar fiber di kawasan perumahan Taman Bertam Heights, Melaka.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mac -  Maxis telah memeterai perjanjian bersama pemaju hartanah, Teladan Setia Sdn Bhd untuk membawa kesalinghubungan fiber kepada penduduk di salah sebuah perbandaran di Melaka.

 

Sebagai sebahagian dari perjanjian tersebut, Maxis akan mereka bentuk, membekal, memasang, menguji dan mentauliahkan infrastruktur perkhidmatan tetap kepada penduduk Taman Bertam Heights.

 

Maxis bakal menghubungkan lebih 2,100 rumah dalam pembangunan tersebut, dengan potensi sehingga 1,000 lagi premis di Melaka pada masa akan datang. 

 

Perkongsian itu juga adalah sebahagian daripada kerjasama berterusan Maxis dengan pemaju hartanah negara dalam menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi serta penyelesaian kesalinghubungan.

 

Pengarah Eksekutif Teladan Setia Sdn. Bhd., Francis Sia berkata, kerjasama strategik syarikat bersama Maxis adalah langkah penting dalam membangunkan kawasan perumahan dan perbandaran. 

 

"Permintaan rumah yang dilengkapi kemudahan semakin tinggi sejak pandemik, dan kami ingin memastikan kediaman kami dilengkapi dengan penyelesaian kesalinghubungan terbaik. 

 

"Rekod prestasi Maxis dalam infrastruktur rangkaian dan perkhidmatan bakal menambah nilai kepada perbandaran dan gaya hidup digital pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus pula berkata, pihaknya berbesar hati dilantik oleh Teladan Setia untuk menyediakan kesalinghubungan kepada penduduk mereka. 

 

Beliau berkata, jalur lebar fiber berkelajuan tinggi mengubah cara kita berkomunikasi dan mengakses perkhidmatan semasa dan juga masa hadapan seperti keselamatan, perbankan, hiburan dan banyak lagi. 

 

"Melalui rangkaian fiber kami, keupayaan dan pilihan pelan fiber rumah yang menarik, kami dapat membuka kemungkinan untuk perkhidmatan digital ini, disokong oleh pengalaman kesalinghubungan yang hebat.  

 

"Ini adalah contoh komitmen kami untuk berkhidmat demi rakyat Malaysia dengan Rangkaian Menyeluruh kami,” katanya. - DagangNews.com