MAVCOM bangkit isu kapasiti pesawat, kecekapan pengendali lapangan terbang bagi berdepan pertambahan penumpang | DagangNews Skip to main content

MAVCOM bangkit isu kapasiti pesawat, kecekapan pengendali lapangan terbang bagi berdepan pertambahan penumpang

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 April - Jumlah penumpang udara merekodkan pertumbuhan teguh bulan ke bulan, semakin menghampiri paras sebelum pandemik COVID-19 dengan angka Februari 2024 menujukkan berada pada paras 95.4% daripada jumlah penumpang Februari 2019.

 

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, walau bagaimanapun, kapasiti pesawat saat ini masih menjadi isu berbangkit berikutan gangguan rantaian bekalan menyebabkan kelewatan dalam penghantaran pesawat. 

 

Oleh itu, katanya, adalah penting bagi syarikat penerbangan untuk merancang rangkaian penerbangan mereka secara teliti dan memperuntukkan sumber mereka dengan cekap. 

 

"Selain itu, pengendali lapangan terbang harus memastikan infrastruktur sedia ada mencukupi dan mampu menampung peningkatan permintaan untuk mengekalkan tahap kualiti perkhidmatan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Statistik trafik penumpang udara terbaru bagi bulan Februari 2024 menyaksikan jumlah trafik penumpang mencapai 8.1 juta, peningkatan bulan-ke-bulan (MoM) yang signifikan iaitu sebanyak 12.6 peratus berbanding Januari 2024, yang mencatatkan seramai 7.19 juta penumpang. 

 

Ini turut menandakan pertumbuhan tahun-ke-tahun (YoY) yang ketara, iaitu sebanyak 34.8 peratus berbanding bulan Februari 2023, yang mencatatkan seramai 6.01 juta penumpang.

 

Daripada jumlah 8.1 juta tersebut, 7.81 juta atau 96.5 peratus, merupakan trafik penumpang di lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Berhad, manakala 3.6 peratus lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

 

Lapangan terbang di Johor itu dikendalikan oleh Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd.

 

klia
Jumlah penumpang dijangka menyamai paras sebelum pandemik COVID-19 pada akhir tahun ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia Aviation catat untung bersih tahunan pertama sejak 2010

 

Sementara itu, Saripuddin berkata, trafik penumpang pada Februari 2024 mencapai 95.4 peratus daripada jumlah penumpang pada Februari 2019, iaitu tahun sebelum pandemik COVID-19.

 

Beliau berkata, sektor penerbangan jelas sedang menuju ke arah pemulihan yang teguh dengan data semasa ini menunjukkan bahawa permintaan untuk perjalanan udara di Malaysia mungkin mencapai tahap sebelum pandemik menjelang akhir tahun 2024 dan berpotensi untuk melepasinya pada tahun 2025. 

 

“Bukan hanya sekadar penambahan angka, tetapi lonjakan perjalanan udara yang signifikan ini mencerminkan pemulihan kepercayaan pengguna terhadap perjalanan udara yang selamat dan kembalinya hasrat untuk berhubung," jelasnya.

 

Sebagai pengawal selia, MAVCOM mengambil perhatian atas perkembangan ini dan kekal komited dalam memastikan pertumbuhan sektor ini sejajar dengan keperluan rangka kerja perlindungan pengguna dan kualiti perkhidmatan yang teguh, serta pengawasan kawal selia Suruhanjaya. 

 

"Ini memastikan pemulihan industri bukan sahaja kukuh tetapi juga saksama dan mampan,” tegasnya. - DagangNews.com