KUALA LUMPUR 26 Okt - MYAirline Sdn Bhd telah diarah mengemukakan penjelasan bertulis selewat-lewatnya pada 27 Oktober ekoran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mempergiatkan siasatan terhadap syarikat penerbangan itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Mavcom berkata sebaik sahaja penjelasan bertulis MYAirline diterima, ia akan menilai sama ada syarikat penerbangan tambang rendah yang bermasalah terbabit layak untuk kekal sebagai pemegang lesen perkhidmatan udara (ASL), atau sama ada ASL perlu digantung atau dibatalkan menurut Seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).
Menurut Seksyen 43(1) Akta tersebut, Mavcom selaku pengawal selia ekonomi untuk industri penerbangan Malaysia tidak boleh membatalkan atau menggantung lesen atau permit melainkan ia telah memberi peluang kepada pemegang lesen atau pemegang permit untuk membuat sebarang penjelasan bertulis.
“Berkenaan bayaran balik kepada pengguna terjejas, Mavcom telah menghubungi pelbagai agensi, termasuk Bank Negara Malaysia, bagi mencari semua pilihan yang berkemungkinan untuk membayar balik mereka.
“Mavcom akan memaklumkan kemas kini tambahan mengenai bayaran balik kepada orang ramai dalam masa terdekat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Mavcom beri kerjasama penuh dalam siasatan Kementerian Pengangkutan berhubung isu perlesenan MYAirline
Di samping itu, agensi tersebut juga berkata ia telah menubuhkan pasukan petugas yang terdiri daripada wakil daripada suruhanjaya tersebut, Jawatankuasa Perundangan, Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Penyelesaian Pertikaian, serta Jawatankuasa Perlindungan Pengguna.
Jelasnya, mereka diberi mandat untuk meneliti bayaran balik penumpang yang terjejas dan memberi cadangan berhubung langkah seterusnya.
“Walaupun rangka kerja kelulusan pelesenan sedia ada yang terpakai kepada semua pemegang lesen baharu dan sedia ada adalah menyeluruh, pasukan petugas akan turut menyemak semula rangka kerja untuk penambahbaikan,” katanya.
Suruhanjaya itu telah melancarkan siasatan terhadap MYAirline dan mengeluarkan surat tunjuk sebab pada 13 Oktober selepas penggantungan operasi syarikat itu pada 12 Oktober.
Surat tunjuk sebab itu menyatakan kegagalan MYAirline untuk memenuhi syarat ASL, termasuk gaji dan faedah pekerja yang belum dijelaskan.
The Edge berkata data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa MYAirline mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM12.51 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2022. Ia tidak mempunyai hasil kerana ia hanya memulakan operasi penerbangannya pada Disember 2022.
Data berkenaan juga menunjukkan syarikat penerbangan tersebut mempunyai liabiliti sebanyak RM28.68 juta, lebih daripada asetnya bernilai RM18.16 juta. Ini telah mengakibatkan ekuiti pemegang saham negatif sebanyak RM10.51 juta. - DagangNews.com








