Master Tec Wire, Tenaga Cable Industries bekerjasama bekal kabel voltan rendah bernilai RM12 juta | DagangNews Skip to main content

Master Tec Wire, Tenaga Cable Industries bekerjasama bekal kabel voltan rendah bernilai RM12 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - Master Tec Wire & Cable Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tenaga Cable Industries Sdn. Bhd. bagi membekalkan kabel kuasa voltan rendah bernilai RM12 juta.

 

Pada 19 Oktober 2022, Master Tec menandatangani Perjanjian Jangka Panjang Pembuatan Peralatan Asal (OEM) dengan Tenaga Cable Industries untuk membekalkan tiga jenis kabel menerusi kontrak setahun berkuat kuasa Oktober 2022.

 

Jumlah kabel voltan rendah yang akan dibekalkan itu bergantung kepada permintaan daripada Tenaga Cable Industries.

 

Pemegang saham tunggal dan Pengarah Master Tec Wire, Datuk Lau Kim San berkata, menerusi perjanjian itu membuktikan keyakinan TNB kepada mereka untuk membekalkan wayar serta kabel berkualiti untuk industri berat.

 

Beliau berkata, produk yang dibangunkan adalah berdasarkan piawaian antarabangsa yang paling ketat, termasuk pengiktirafan oleh TNB melalui Sijil Guna Pakai. 

 

“Kami yakin kontrak terbaharu ini akan terus mewujudkan peluang untuk kami menyertai industri penjanaan dan pengedaran kuasa Malaysia yang semakin berkembang. 

 

kabel
Ketua Oegawai Eksekutif Master Tec Wire, Tee Kok Hwa (kiri) bersama Pengarah Urusan Tenaga Cable Industries, Ir. Nik Hishamuddin Mohamed pada majlis perjanjian kerjasama kedua-dua syarikat di Melaka.

 

"Berdasarkan pengalaman kami dalam membekalkan kabel yang diperlukan untuk kemudahan tenaga boleh diperbaharui (RE), Master Tec juga berada pada kedudukan yang baik untuk meraih lebih banyak peluang dalam segmen RE apabila kerajan mempercepatkan usahanya untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Tenaga Cable Industries (TCI), Ir. Nik Hishamuddin berkata, kerjasama itu merupakan inisiatif untuk menyediakan bekalan kabel yang berterusan kepada TNB. 

 

Ia selari dengan Pelan Transformasi TCI dibawah Reimagining TCI 2026 dengan ia memberi fokus kepada salah satu strategi utama iaitu menambah baik perniagaan utama.

 

"Master Tec telah berkhidmat kepada TNB sebelum ini untuk pelbagai projek seperti seperti Loji Jana Kuasa Jimah Port Dickson, Projek Loji Jana Kuasa Arang Batu Manjung 5, Stesen Janakuasa Tunku Jaafar, Pencawang TNB Bukit Ketri dan pelbagai Pencawang Masuk Utama di seluruh Peninsular Malaysia.

 

"Dalam segmen RE, syarikat itu juga membekalkan pelbagai kabel kuasa, kawalan dan instrumen untuk TNB Bidor Solar, Perak dan TNB PMU-Solar Chembong selain merupakan pembekal untuk projek Solar 1 & 2 Berskala Besar di Sik serta Tol Lebuhraya Latar," katanya. - DagangNews.com