KUALA LUMPUR 11 Nov - MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) menjangkakan bas elektrik akan mencapai sekurang-kurangnya 20% daripada jualan keseluruhan bas MAN di negara ini menjelang 2026, menerusi program pemasangan tempatan (CKD).
Pengarah Urusannya, Andrew O' Brooks berkata, beliau yakin bahawa casis MAN eBus, dengan fleksibiliti dan prestasi yang telah terbukti, akan menjadi platform yang sempurna untuk pengendali bas Malaysia beralih kepada mobiliti elektro.
“Kami merancang untuk memasang casis MAN eBus secara tempatan untuk menjadikan harganya lebih kompetitif bagi mereka yang berminat untuk menyertai kami dalam perjalanan ke arah kemampanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, MAN Malaysia dan Gemilang International Limited (GML) telah menjalankan majlis pratonton khas casis MANeBus buat pertama kali untuk pengendali bas dan pegawai kerajaan di ibu pejabat GML di Senai, Johor.
Bermula tahun 2023, MAN Malaysia akan menawarkan casis bas elektrik sepenuhnya dengan pelepasan karbon sifar bersama dengan casis konvensional yang dikuasakan oleh enjin Euro V pelepasan rendah karbon dalam pada syarikat itu terus memacu perubahan ke arah mobiliti mampan dalam sektor pengangkutan awam Malaysia.
Untuk pasaran Malaysia, casis MAN eBus boleh didapati sebagai kenderaan dua gandar dengan lantai rendah (LF) yang sesuai untuk pengangkutan awam bandar. Ia dikuasakan oleh motor elektrik dengan kuasa berterusan 160 kW dan tork maksimum 2100 Nm dipadankan dengan kotak gear kelajuan tunggal.
Dengan bekalan elektrik sama ada daripada bateri 4 pek 320 kWj atau 6 pek 480 kWj berteknologi NMC (lithium-nikel-mangan-kobalt), casis MAN eBus mempunyai jarak perjalanan sehingga 350 km dengan sekali cas.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML, Pang Chong Yong berkata, GML adalah salah satu syarikat pertama di Asia Tenggara yang memasang bas elektrik dan kami berkongsi matlamat yang sama dengan MAN dalam mengurangkan pelepasan karbon.
"Kami komited untuk membangunkan badan bas aluminium yang paling tahan lama, ringan, mesra alam dan kos efektif bagi casis MAN yang menggunakan teknologi terkini.
"Selain mempunyai casis sifar pelepasan karbon, sama penting adalah penghasilan badan bas berkonsep hijau dalam mengeluarkan kenderaan mesra alam secara keseluruhan. Bersama-sama, kami berharap dapat meneraju Malaysia dan seluruh rantau ini ke arah masa depan yang lebih bersih, tenang dan selamat,” katanya.
Sebagai pembina badan bas neutral, GML telah menjadi pengeluar peralatan asal yang dipercayai (OEM) untuk MAN sejak sedekad yang lalu.

Sebagai pemenang Anugerah Pembina Badan MAN pada 2013, 2014, 2015, 2017 dan 2019, syarikat itu telah membekalkan lebih daripada 2,500 bas MAN ke pasaran Malaysia dan luar negara seperti Singapura, Hong Kong, Australia, Uzbekistan dan Dubai.
Sementara itu, MAN Malaysia akan menawarkan perkhidmatan perundingan emobiliti 360 ° khusus pelanggan kepada syarikat-syarikat yang merancang untuk beralih ke elektro mobiliti.
Perkhidmatan eksklusif dari Penyelesaian Pengangkutan MAN meliputi semua faktor penting untuk peralihan yang berjaya seperti analisis pelbagai dan penggunaan, analisis rangkaian, konsep infrastruktur, pengisian dan konsep tenaga, peralihan armada pengangkutan dan perkhidmatan serta latihan. - DagangNews.com








