Malaysia perlu bina semula ekonomi dan jadi terawal di rantau ini, kata penganalisis | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu bina semula ekonomi dan jadi terawal di rantau ini, kata penganalisis

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 31 Mac - Pembukaan sempadan negara, termasuk sempadan darat Malaysia-Singapura bermula esok adalah keputusan yang tepat kerana Malaysia perlu menormalkan pergerakan secepat mungkin bagi memulihkan ekonomi.

 

Pakar ekonomi, Dr Nungsari Radhi berkata, ekonomi Malaysia terjejas teruk sepanjang 2 tahun COVID-19 melanda, terutamanya dengan pengenalan sekatan pergerakan.

 

"Malaysia perlu membina semula ekonomi dan kita harus menjadi antara yang terawal di rantau ini serta di peringkat global dalam menormalisasikan keadaan.

 

"Pembukaan sempadan negara bukan hanya tertakluk kepada sektor pelancongan dan industri tertentu, tetapi secara keseluruhan," beliau memberitahu DagangNews

 

 

Dr. Nungsari Radhi
Dr. Nungsari Radhi

 

 

Nungsari turut menekankan bahawa kadar vaksinasi rakyat Malaysia adalah tinggi dan tahap pengurusan fasiliti kesihatan dan hospital berada pada kadar yang memuaskan. 

 

"Bagaimanapun, ini perlu dipantau dari semasa ke semasa," ujar beliau lagi.

 

Negara serantau, Brunei telah membuka sempadan negaranya kepada warganegara, penduduk dan pemegang kad hijau, bagaimanapun, semua pelawat mesti membayar kuarantin wajib dan ujian COVID-19 mereka.

 

Kemboja dibuka semula untuk pelancongan pada 20 November lalu manakala China menerima kemasukan warga asing dengan visa kerja.

 

Hong Kong pula akan menyambung semula penerbangan masuk dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan 6 negara lain pada 1 April ini manakala Indonesia, Laos, Thailand dan Vietnam membuka semula sepadan secara beransur-ansur.

 

Di samping itu, Nungsari turut menyarankan agar persekolahan turut dinormalisasikan kerana ibu bapa yang bekerja tidak mempunyai sistem sokongan.

 

"Ia bukanlah normalisasi sekiranya sistem persekolahan dan tempat kerja masih mengadakan sekatan, kita tidak harus melihat hanya kepada sempadan negara. Kita perlu mengambil kira pergerakan domestik.

 

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan Indeks Harga Pengguna Malaysia jatuh 1.2% pada 2020, penurunan yang tidak pernah berlaku sejak sedekad lalu, dan kali terakhir Malaysia mengalami deflasi dalam IHP adalah pada tahun 1965 dengan kejatuhan -0.1% tahun ke tahun.

 

Deflasi pada 2020 disebabkan COVID-19 yang memberi tekanan permintaan.

 

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan penyusutan 3.4% pada suku keempat 2020 dalam keadaan peningkatan ketara kes jangkitan COVID-19 sekali gus menjadikan prestasi keseluruhan tahun kepada -5.6% berikutan perintah sekatan dan penutupan sempadan di peringkat global. - DagangNews.com