Malaysia jemput Pakistan untuk bekerjasama bangunkan industri hiliran - Zuraida | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia jemput Pakistan untuk bekerjasama bangunkan industri hiliran - Zuraida

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 April - Malaysia menjemput Pakistan untuk menjalinkan kerjasama dalam bersama-sama membangunkan produk industri hiliran seperti oleokimia, getah asli, pintu kayu, panel lantai, coklat premium dan lada.

 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan turut menjemput Dewan Perniagaan Islamabad dan Rawalpindi untuk menyertai Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES 2022) bermula 26 hingga 28 Julai ini.

 

"Malaysia dan Pakistan berkongsi nilai dan budaya yang hampir sama selain menawarkan banyak ruang untuk jalinan perdagangan.

 

"Pakistan merupakan antara rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam sektor agrikomoditi dan kami memiliki kerjasama dalam beberapa projek terutama dalam industri minyak kelapa sawit di Pelabuhan Qasim. 

 

"Kami menghargai sokongan Pakistan dan percaya lebih banyak perkara yang boleh dilakukan bagi meningkatkan aktiviti dagangan antara kedua negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Zuraida sebelum ini ke Pakistan untuk lawatan kerja bermula 30 Mac hingga 1 April 2022 untuk mengukuhkan hubungan dagangan agrikomoditi di antara Malaysia dan negara Asia Barat itu selain mempromosikan industri minyak kelapa, getah, balak, lada, koko dan kenaf.

 

Semasa lawatan, Zuraida turut bertemu Penasihat Perdagangan dan Pelaburan kepada Perdana Menteri Pakistan, Razak Dawood dan Penasihat Pembangunan Sumber Manusia kepada Perdana Menteri Pakistan, Ayub Afridi.

 

zuraida
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk usaha mengembangkan pasaran agrikomoditi Malaysia di Pakistan dan peluang menjalankan kajian serta pembangunan dalam sektor itu serta potensi untuk mendapatkan pekerja mereka untuk bekerja di ladang kelapa sawit negara.

 

"Pakistan merupakan rakan dagangan penting untuk produk agrikomoditi dengan jumlah eksport sebanyak RM3.31 bilion pada 2021," katanya.

 

Antara dagangan utama Malaysia ke Pakistan termasuk minyak sawit (RM2.92 bilion), getah (RM253.90 juta) dan produk balak (RM82.44 juta). - DagangNews.com