KUALA LUMPUR 17 Jan - Malaysia menduduki tempat kedua destinasi paling dicari oleh pengembara di seluruh Asia sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina, menurut Agoda.
Manakala, Jepun merupakan destinasi paling dicari dalam data carian Agoda, dan Thailand berada di tempat ketiga.
Pengecualian ketara kepada aliran ini termasuk pengembara dari China dan Jepun yang mencari musim panas dan sejuk, mendorong Thailand ke tempat pertama.
Sementara itu, pengembara Thai sebaliknya ingin menuju ke iklim Jepun yang lebih sejuk.
Ketua Pegawai Eksekutif Agoda, Omri Morgenshtern berkata, ia bagus untuk melihat keyakinan dalam perjalanan antarabangsa kembali terutamanya dalam pasaran Jepun, Korea dan Taiwan yang dibuka baru-baru ini.
"Kami menjangkakan akan terdapat lonjakan dalam perjalanan dari tanah besar China, dengan Thailand, Macau, Taiwan, Hong Kong dan Jepun kembali dalam senarai hajat Tahun Baru Cina.
"Bagaimanapun, ia mungkin terlalu awal untuk menjangkakan pemulihan sepenuhnya, memandangkan cabaran dengan kapasiti penerbangan dan harga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Data carian Agoda juga mendedahkan pilihan utama dalam tiga pasaran paling popular mengikut volum, Jepun, Malaysia dan Thailand.
Bandar kosmopolitan adalah tarikan utama di Jepun, dengan Tokyo, Osaka dan Fukuoka menjadi tiga destinasi yang paling dicari.
Mencerminkan warisan budaya yang menarik dan suasana bandarnya yang sibuk, data carian Agoda menunjukkan Kuala Lumpur menduduki tempat teratas di Malaysia, diikuti Melaka dan Pulau Pinang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Di Thailand, Bangkok yang menduduki slot nombor satu, diikuti oleh bandar pesta pantai Pattaya dan Chiang Mai yang kaya dengan budaya. - DagangNews.com








