Malaysia, AS dan UK sedia bekerjasama tangani isu buruh paksa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia, AS dan UK sedia bekerjasama tangani isu buruh paksa

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Malaysia sedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) dalam usaha menangani isu buruh paksa menerusi kerangka Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Paksa (NAPFL).

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, beliau akan bertemu dengan perwakilan Diplomatik AS dan UK untuk berbincang secara lebih terperinci dan lanjut.

 

Jelasnya, beliau mengalu-alukan tawaran kerjasama Duta Besar AS, Brian D. McFeeters dan Pesuruhjaya Tinggi UK, Charles Hay dalam menangani isu buruh paksa.

 

"Mereka juga bersedia berkongsi pengalaman kedua-dua negara ini dalam berhadapan dengan cabaran isu buruh paksa. Kerjasama ini boleh dibuat menerusi kerangka NAPL yang telah dilancarkan pada tahun lepas.

 

"Isu pemerdagangan orang yang turut merangkumi aspek buruh paksa adalah cabaran besar yang dihadapi oleh negara khususnya Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam melindungi hak-hak pekerja serta memastikan pematuhan terhadap perundangan perburuhan. 

 

"Usaha membanteras isu buruh paksa adalah inisiatif yang berterusan dan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut M. Saravanan, Malaysia mempunyai perundangan untuk menangani jenayah pemerdagangan orang termasuk isu buruh paksa. 

 

"Oleh itu, KSM komited untuk memastikan isu ini ditangani secara sistematik dengan cadangan pindaan kepada Akta Kerja 1955 [Akta 265] pada bulan Mac ini dengan memasukkan peruntukan berkaitan buruh paksa. 

 

 

sara
Datuk Seri M. Saravanan

 

 

"Ini adalah lanjutan daripada perluasan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] yang berkaitan dengan aspek perumahan serta penginapan pekerja kepada semua sektor pekerjaan mulai September 2020," katanya. 

 

Tambah beliau, KSM akan mengadakan kerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk menganjurkan Dialog Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa pada bulan hadapan, melibatkan penyertaan semua pihak berkepentingan.

 

"Ini terutamanya bagi menyampaikan maklumat kepada para pekerja termasuk pekerja warga asing. Malah, isu ini juga menjadi salah satu intipati perbincangan utama dalam rundingan kerjasama dua hala dengan negara-negara sumber bagi pekerja warga asing," katanya.

 

Katanya, beliau telah memberi komitmen peribadi untuk meningkatkan usaha memelihara hak dan kebajikan semua golongan pekerja dalam negara, termasuklah pekerja warga asing. - DagangNews.com