KUALA LUMPUR 18 Ogos - Imbangan akaun semasa (CAB) Malaysia merekodkan lebihan sebanyak RM9.1 bilion atau 2.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2023, berbanding RM4.3 bilion (1% kepada KDNK) pada suku sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM, lebihan yang berterusan dalam CAB terutamanya disokong oleh eksport bersih barangan sebanyak RM29.5 bilion pada suku berkenaan, penurunan 26.1% suku ke suku.
Eksport utama adalah elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum dan kimia, terutamanya ke Singapura, China dan Amerika Syarikat (AS).

“Sebaliknya, import barangan meningkat 1.7% suku ke suku kepada RM225.4 bilion daripada RM221.6 bilion, terutamanya disumbangkan oleh barangan modal dan penggunaan, di mana sumber utamanya adalah China, Singapura dan Taiwan,” katanya.
Bagi aliran keluar bersih dalam pelaburan langsung luar negeri (DIA), DOSM berkata ia berkembang kepada RM8 bilion berbanding RM1.1 bilion pada suku sebelumnya.
“Sektor utama yang menyumbang kepada DIA adalah perkhidmatan, khususnya dalam subsektor kewangan, serta maklumat dan telekomunikasi, diikuti oleh pertanian dan pembinaan,” katanya.
Sementara itu, Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih rendah sebanyak RM3.1 bilion pada suku kedua 2023 berbanding RM12 bilion pada suku sebelumnya.

“Penerima FDI terbesar adalah sektor perkhidmatan, terutamanya dalam subsektor profesional, saintifik dan teknikal, serta kewangan dengan sumber utama FDI adalah dari Singapura, Taiwan dan Jerman,” tambahnya.
Dari segi pelaburan terkumpul pada akhir suku kedua 2023, DOSM berkata kedudukan FDI dan DIA masing-masing mencatatkan RM900 bilion dan RM652.1 bilion.
Tambahnya, kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) Malaysia merekodkan aset bersih RM160.9 bilion, manakala rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM522 bilion. - DagangNews.com








