KUALA LUMPUR 8 Dis – Malayan Flour Mills Bhd. (MFM) bercadang untuk membina kilang pemprosesan nilai tambah untuk segmen ternakannya yang akan menghasilkan produk seperti nugget ayam.
Bagaimanapun, kos pembinaan kilang baharu itu belum ditentukan lagi, menurut AmInvestment Bank Research ketika taklimat kumpulan bersama penganalisis baru-baru ini.
Firma itu berkata, pembinaan kilang itu dijangka bermula pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) yang akan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan.
"Kilang baharu ini dijangka terletak berhampiran kilang ternakan sedia ada kumpulan di Lumut, Perak," katanya dalam nota kajian hari ini.
Ketika taklimat itu, MFM juga berharap kilang pemprosesan ayam di Lumut akan mencapai kadar penggunaan purata sebanyak 75% pada FY23 berbanding 54% pada masa ini.
Peningkatan permintaan dijangka meningkat daripada restoran seperti KFC dan pengeluar seperti MacFood, yang dimiliki oleh Tyson International.
AmInvestment bagaimanapun buat masa ini mengekalkan unjuran keuntungan bersih MFM sebanyak RM129 juta bagi FY23.
Menurutnya, untuk mencapai kadar penggunaan sebanyak 75%, MFM perlu mendapatkan bekalan ayam daging daripada penternak kontraknya dan setakat ini tiada isu berkaitan bekalan.
"Selain itu, MFM juga merancang untuk mengembangkan ladang ternakannya sebanyak 5 hingga 6 juta ekor setiap bulan menjelang FY24. Pada masa ini, 60% hingga 70% ayam daging MFM adalah daripada penternak kontrak," jelasnya.
Firma itu berkata, MFM percaya ia mampu memenuhi jaminan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) ayam sebanyak RM141 juta untuk FY22 manakala RM173 juta bagi FY23.
Sebelum ini, katanya, jaminan EBITDA telah diberikan kepada Tyson International selaras dengan pelupusan 49% kepentingan dalam segmen ternakan pada FY21.
"Pertumbuhan pendapatan FY23 dijangka disokong oleh volum jualan yang lebih tinggi dan margin yang lebih baik," katanya.
Secara keseluruhan, AmInvestment kekal positif dengan prospek hasil bagi MFM, justeru, mengekalkan saranan 'beli' dengan nilai wajar tidak berubah pada RM1.
Setakat 10.33 pagi, harga sahamnya susut 2 sen atau 2.35% kepada 83 sen dengan 2.33 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








