Malakoff tingkatkan kapasiti RE menerusi pengambilaihan ZEC Solar dan TJZ Suria | DagangNews Skip to main content

Malakoff tingkatkan kapasiti RE menerusi pengambilaihan ZEC Solar dan TJZ Suria

Anwar Syahrin Abdul Ajib, Zakri Afandi Ismail dan Wan Jamaludin Wan Abdul Malik pada majlis menandatangani SSPA antara Malakoff dan Zelleco yang disaksikan Shaja Ibrahim. Turut hadir, Naib Pengerusi Eksekutif Malakoff, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Oleh M. HERMAN HAMID

 

KUALA LUMPUR 24 Mei - Malakoff Corporation Berhad melakukan pengambilalihan penuh dua syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) iaitu ZEC Solar Sdn Bhd dan TJZ Suria Sdn Bhd menerusi pemeteraian Perjanjian Bersyarat Jual Beli Saham (SSPA) bersama Zelleco Engineering Sdn Bhd (Zelleco).

 

Pengambilalihan ini dijangka meningkatkan kapasiti Malakoff kepada 128 MegaWatt (MW) di dalam sektor RE dan mengoptimumkan kos operasi melalui sinergi sumber yang akan menghasilkan skala ekonomi.

 

Cadangan pengambilalihan tersebut melibatkan 22,393,389 unit saham, mewakili 51% kepentingan ekuiti dalam ZEC Solar dan 49,000 unit saham, mewakili 49% kepentingan ekuiti dalam TJZ Suria.

 

SSPA ini ditandatangani oleh Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib dan Pengerusi Eksekutif Zelleco, Datuk Zakri Afandi Ismail serta Pengarah Urusan Zelleco, Datuk Wan Jamaludin Wan Abdul Malik

 

Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Malakoff di ibu negara itu disaksikan oleh Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan Malakoff, Shaja Ibrahim.

 

malak
Anwar Syahrin Abdul Ajib, Zakri Afandi Ismail dan Wan Jamaludin Wan Abdul Malik pada majlis tandatangani SSPA antara Malakoff dan Zelleco yang disaksikan Shaja Ibrahim. Turut hadir, Naib Pengerusi Eksekutif Malakoff, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

 

ZEC Solar adalah pemilik dan pemaju kemudahan Solar Berskala Besar (LSS) dengan kapasiti 29 MW yang terletak di Kota Tinggi, Johor di bawah program LSS dengan Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) selama 21 tahun berkuat kuasa sehingga 2040. 

 

ZEC Solar memperolehi projek tersebut menerusi pusingan pertama tender kompetitif LSS yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

 

Anwar Syahrin dalam pada itu melahirkan keyakinan akan pengambilalihan strategik ini kerana ia akan memberi peningkatan sebanyak 15 MW tambahan kepada portfolio Malakoff, menjadikan jumlah kapasiti RE yang oleh dipasang Malakoff kepada 168 MW. 

 

Katanya, inisiatif ini juga akan diselia oleh pasukan O&M Malakoff, bagi memastikan pelaksanaan dan pengurusan projek berjalan dengan efisyen serta lancar.

 

"Perkembangan ini akan meningkatkan keupayaan teknikal Malakoff dan juga sebagai loji rujukan untuk memenuhi keperluan bidaan LSS di masa hadapan, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. 

 

malak

 

"Tahun lepas, kami menunjukkan kemajuan besar dalam memperkembangkan portfolio RE kami. Kami menceburi bidang kuasa hidro dengan membiayai sebahagian Projek Rising Promenade (RP) Hydro's Sungai Galas, dengan kapasiti 84 MW. 

 

"Selain itu, kami memperoleh SPPA dengan pemain industri utama seperti Kumpulan Syarikat DRB-HICOM, Kumpulan Syarikat UMW, Perbadanan Aset Kereta Api dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, dengan memanfaatkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), Malakoff memeterai perkongsian strategik dengan MMC Ports untuk membangunkan 500 MW projek solar dalam Kumpulan Syarikat Albukhary. 

 

Selain itu, katanya, Malakoff mendapat pengiktirafan global melalui Heads of Agreement (HoA) dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk membangunkan projek loji fotovoltaik solar di Semenanjung Malaysia dengan jumlah kapasiti sehingga 1,000 MW.

 

Menurut beliau, tidak dinafikan bahawa terdapat momentum dalam mempercepatkan peralihan tenaga negara yang merupakan bukti komitmen Malakoff ke arah menyumbang kepada sasaran negara untuk mencapai Pelepasan Sifar Bersih seawal 2050 dan meningkatkan kapasiti RE kepada 70%.

 

"Sehingga kini, melalui Malakoff Green Solutions – portfolio RE Malakoff kini berjumlah 168 MW yang mana, terdiri daripada pelaksanaan projek Solar Berskala Besar ("LSS") dan ‘Rooftop Solar’ ("RTS"), serta penjanaan kuasa hidro kecil dan pemasangan infrastruktur mobiliti bebas karbon," ujarnya. - DagangNews.com