KUALA LUMPUR 5 Mei - Sebahagian besar pengeluaran bahan mentah OM Holdings dalam kawalan dan harga bahan mentah secara relatif tidak berubah, kata Malacca Securities.
Firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan buat masa ini namun yakin terhadap operasi semasa dan prospek masa depan mereka susulan taklimat daripada kumpulan itu.
Menurut firma itu, harga bijih mangan berkemungkinan kukuh berikutan sentimen kekal berhati-hati disebabkan oleh pelbagai faktor ekonomi makro seperti krisis politik Ukraine-Rusia yang berterusan, krisis perbankan di AS dan ketiadaan potensi pemulihan dalam permintaan berikutan pembukaan semula sempadan China.
Walaupun jangkaan pembukaan semula sempadan China mungkin merangsang harga, semakan menunjukkan bahawa harga material gagal mencetuskan satu lagi gelombang rali dan kekal agak stabil dengan 44.% bijih mangan, FeSi dan mangan silikon masing-masing berpurata pada AS$5.06/MT, AS$1,541/MT dan AS$1,045/MT pada April 2023.
“Bagaimanapun, kami terus menyukai OMH sebagai salah satu peleburan ferroaloi kuartil kos terendah di rantau ini di mana kompleks peleburan Samalaju dikuasakan oleh kuasa hidro mesra ESG daripada perjanjian pembelian kuasa 20 tahun dengan Sarawak Energy dan menikmati pengecualian cukai selama 10 tahun.
Firma itu berkata segmen penerokaan dan perlombongan bijih mangan sedang menjalankan kerja-kerja pembetulan kejuruteraan untuk Loji Ultra Fines yang menelan perbelanjaan modal sebanyak AU$6.5 juta untuk menggantikan skrin dan menaik taraf kedua-dua bekalan air dan kapasiti pam amang dan dijangka siap dalam masa sembilan bulan.
Sementara itu, segmen peleburan telah menghasilkan pengeluaran lebih lemah pada 1Q23 berikutan kilang peleburan utama di Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak, telah mencatatkan penyusutan ferosilikon (FeSi) sebanyak 13.5% suku ke suku (QoQ) kepada 29,707 tan akibat penutupan dua relau untuk penyelenggaraan utama.
Selain itu, pengeluaran bijih sinter mangan menurun 4.3% QoQ (30,112 tan) manakala aloi mangan melonjak 25.7% atau 51,151 tan.
Menurut firma itu, pengeluaran Metalic Silicon (MetSi) yang dirancang mengalami gangguan kecil berikutan pemulihan yang rendah dalam silikon serta saluran gas luar dan sistem penyingkiran haba tidak berfungsi sebagaimana yang dijangkakan di bawah rangka kerja kontrak EPC dan kerja-kerja pembetulan sedang dijalankan.
“Memandangkan asas MetSi yang menggalakkan sebahagian besarnya kekal tidak berubah, OMH kekal komited untuk memulakan pengeluaran MetSi dalam jangka masa panjang,” tambahnya.
Jualan pada 1Q23 juga terjejas akibat jualan FeSi turun mendadak sebanyak 31.8% kepada 28,281 tan FeSi disebabkan kelewatan dalam penghantaran yang akan dibawa ke 2Q23, di mana firma tersebut berpendapat bahawa jualan mungkin menjadi stabil, bergerak pada 2Q23.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.86 sesaham. -DagangNews.com








