Malacca Securities nilai saham Kucingko bakal disenarai di Bursa Malaysia pada 58.5 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malacca Securities nilai saham Kucingko bakal disenarai di Bursa Malaysia pada 58.5 sen

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Julai - Malacca Securities memberi harga wajar 58.5 sen terhadap Kucingko Berhad, iaitu 95% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 30 sen.

 

Firma penyelidikan itu berkata, saranan tersebut adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 21x daripada pendapatan sesahamnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 sebanyak 2.79 sen.

 

"Kami percaya PE 21.0x adalah wajar kerana ia sepadan dengan purata PE semasa rakan sejawat antarabangsa terpilih dalam industri pengeluaran animasi 2D," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kucingko Berhad, penyedia perkhidmatan pengeluaran animasi 2D akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) pada 26 Julai ini.

 

Sementara itu, Malacca Securities berkata, Kucingko mempunyai rekod prestasi kukuh selama 17 tahun dalam industri animasi 2D dengan keupayaan untuk menghasilkan animasi berkualiti dunia yang memenuhi standard pelanggan terkemuka mereka dalam industri filem animasi.

 

Katanya, bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-FY25), pendapatan Kucingko dijangka meningkat kepada RM33 juta dan RM39 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kucingko sasar kumpul RM30 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

"Unjuran ini disokong oleh peningkatan bilangan kakitangan yang membolehkan Kucingko mengambil lebih banyak projek. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan keuntungan bersih teras yang sepadan akan berkembang sebanyak 31.2%-27.1% YoY kepada RM11.0 juta-RM13.9 juta, dengan peningkatan margin kerana pengurusan berhasrat untuk mengambil kontrak yang lebih kompleks dan menguntungkan," ujarnya.

 

Kucingko akan memperuntukkan sejumlah RM17.8 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi tujuan pembesaran kapasiti, termasuk RM11.9 juta untuk penubuhan pejabat cawangan pengeluaran di Malaysia Timur. 

 

Selain itu mereka akan menggunakan sejumlah RM4.4 juta bagi menubuhkan pejabat jualan di Amerika Syarikat (AS), sejumlah RM4.3 juta akan disediakan untuk modal kerja dan baki RM3.6 juta digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com