Malacca Securities jangka pertumbuhan Rexit pada 2HFY23 sederhana didorong margin, pengembangan stabil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malacca Securities jangka pertumbuhan Rexit pada 2HFY23 sederhana didorong margin, pengembangan stabil

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - Asas pendapatan Rexit Berhad yang berkualiti tinggi boleh kekalkan kestabilan prestasi pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Jun 2023 (2HFY23), kata Malacca Securities.

 

Asas pendapatannya terdiri daripada tahap pendapatan berulang yang ketara, ditambah pula dengan permintaan mampan untuk produk dan perkhidmatan kumpulan yang akan menjadi pendorong bertahan lama, walaupun terdapat ketidaktentuan dalam pertumbuhan global, kata firma penyelidikan itu.

 

Firma itu berkata kumpulan tersebut komited dalam usaha pengembangan berterusan untuk memacu pertumbuhan, di mana ia mengembangkan perkhidmatan e-Cover kepada sektor perkhidmatan kewangan dan segmen e-dagang lain dan menyasarkan untuk membawa pelanggan baharu pada FY24.

 

Di samping itu, perbelanjaan pentadbiran dijangka kembali normal pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) berbanding separuh kedua tahun kewangan 2022 (2HFY22).

 

Jelasnya, perbelanjaan pentadbiran pada 2HFY22 dijejas oleh kerugian tidak direalisasi pada kerugian nilai saksama bersih terhadap pelaburan dalam dana pasaran wang dan caj susut nilai lebih tinggi yang timbul daripada peralatan komputer pusat data baharu yang diperoleh pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21).

 

“Bagaimanapun, kami mendapati bahawa pelaburan dalam dana tunai berkurangan pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), menunjukkan sebarang keuntungan atau kerugian nilai saksama bersih yang tidak direalisasi pada masa hadapan akan mempunyai kesan kecil ke atas keuntungan.

 

Sementara itu, perbelanjaan susut nilai sepatutnya menjadi normal tanpa perbelanjaan modal yang besar,” tambahnya.

 

Menurut firma itu, margin dijangka stabil bagi 2HFY23 memandangkan perbelanjaan pentadbiran normal dan kadar cukai berkesan, tanpa elaun modal yang dituntut atas pengambilalihan aset pusat data.

 

Kedudukan tunai bersih bersih Rexit pada 2QFY23 berjumlah RM21.8 juta atau 16.6% daripada had pasaran memberi petanda baik untuk pengembangan masa depan, di mana ia akan menyokong perbelanjaan modal yang diperlukan untuk sebarang pengembangan pada masa hadapan.

 

Dengan jangkaan kestabilan margin, Malacca Securities mengekalkan ramalam pendapatan FY23, FY24 dan FY25  masing-masing pada RM10.4 juta, RM11.3 juta dan RM11.9 juta.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 83sen sesaham.

 

Setakat pukul 12:40 tengahari hari ini, saham Rexit menyusut 1sen atau 1.3% kepada 75sen, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM142 juta. -DagangNews.com