Malacca Securities hentikan liputan ke atas saham Leong Hup kerana pengagihan semula sumber dalaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malacca Securities hentikan liputan ke atas saham Leong Hup kerana pengagihan semula sumber dalaman

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Malacca Securities menghentikan liputan terhadap saham Leong Hup International Berhad disebabkan pengagihan semula sumber dalaman, dengan saranan terakhirnya ‘beli’ dengan nilai saksama 97 sen sesaham.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan itu, firma penyelidikan tersebut berkata harga kos makanan ternakan telah berada pada trend menurun namun kekal di atas, yang membolehkannya beransur-ansur pulih.

 

Pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), keuntungan bersih teras Leong Hup telah meningkat 8.7% kepada RM22.1 juta.

 

“Walaupun pendapatan yang dilaporkan hanya mencapai 10% daripada unjuran firma dan konsensus, kami menjangkakan pemulihan mungkin berlaku pada separuh kedua 2023 (2H23) memandangkan sempadan antarabangsa di China telah dibuka semula sejak Januari 2023, yang berkemungkinan meningkatkan permintaan pada masa hadapan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Selain itu, trend menurun pada 1H23 untuk harga kos makanan (kacang soya dan jagung) mungkin memberikan potensi peningkatan dalam pemulihan pendapatan, tambahnya.

 

“Bagaimanapun, kami mendapati kedua-dua harga komoditi itu masih tinggi berbanding paras sebelum COVID-19,” katanya.

 

Dari segi permintaan, firma itu menjangkakan permintaan yang stabil seiring dengan pembukaan semula aktiviti perniagaan secara keseluruhan.

 

“Leong Hup kekal komited memperuntukkan sumber bagi perniagaan hilirannya, termasuk saluran perniagaan-kepada-pengguna (B2C) seperti Sunnychick Store di Indonesia dan The Bakers’ Cottage di Malaysia, di samping pelaburan dalam ruang sejuk,” katanya.

 

Di samping itu, kerajaan mengekalkan mekanisme kawalan harga pada tahun lalu, dengan kenaikan harga siling ayam sebanyak 50 sen kepada RM9.40 setiap kilogram.

 

Tanpa mekanisme harga terapung, firma itu berkata pendapatan Leong Hup mungkin kekal perlahan di bawah persekitaran yang mencabar.

 

Pada waktu penulisan, saham Leong Hup didagang turun 0.5 sen atau 0.9% kepada 52.5 sen dengan permodalan pasarannya sebanyak RM1.9 bilion. - DagangNews.com