KUALA LUMPUR 12 Julai - Malacca Securities menjangkakan keuntungan bersih teras UMediC Group Bhd. (UMC) akan meningkat 41.6% tahun ke tahun kepada RM7.2 juta pada tahun kewangan 2022 (FY22).
Ini didorong daripada jualan yang lebih kukuh dalam peranti perubatan terutama ventilator, monitor pesakit, defibrilator dan mesin ultrasound sejajar dengan penambahbaikan kemudahan penjagaan kesihatan dalam sektor awam dan swasta.
"Pada separuh pertama FY22, untung bersihnya melonjak 112.2% tahun ke tahun kepada RM4.6 juta, merangkumi 63.5% daripada unjuran kami.
"Kami turut mengunjurkan margin baharu kekal di peringkat pertengahan dalam tempoh 2 tahun akan kewangan akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : UMediC sasar RM31.11 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia
UMC yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 Julai ini, menyasarkan untuk mengumpul RM31.11 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).
IPO itu terdiri daripada 97.22 juta saham baharu dengan 18.7 juta akan disediakan kepada orang ramai Malaysia, 13.09 juta kepada pengarah dan pekerja yang layak dan 65.44 juta akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Berdasarkan harga terbitan 32 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 373.91 juta saham, UMC akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM119.65 juta selepas penyenaraian.
Memasuki tahun kewangan 2023, Malacca Securities mengunjurkan hasil dan keuntungan bersih UMC masing-masing akan merekodkan peningkatan 22.5% tahun ke tahun kepada RM88.4 juta dan 11.5% kepada RM8.3 juta.
"Pertumbuhan ini akan didorong oleh penambahan tawaran produk baharu secara berterusan, pemasaran yang agresif bagi meningkatkan jualan penyedut siri AirdroX yang baru dilancarkan dan pengkomersialan produk dalaman air steril untuk penyedutan pada suku pertama 2023," jelasnya.
Selain itu, menurutnya, pembesaran bangunan kilang baharu akan menyediakan laluan pertumbuhan baharu, pada masa akan datang, sekali gus menggandakan kapasiti pengeluaran semasa.
"Kami juga yakin dengan pembukaan bilik pameran baharu di wilayah tengah dan selatan yang akan mengukuhkan kedudukan jualan dan kebolehpasaran mereka dalam 2 wilayah berkenaan.
"Ini kerana bakal pelanggan dan sedia ada tidak perlu lagi pergi ke wilayah utara untuk melihat produk mereka," katanya.
Sejajar dengan prospeknya yang dilihat kukuh, Malacca Securities memberi nilai wajar sebanyak 38 sen kepada UMC, iaitu 18.8% lebih tinggi daripada harga IPO pada 32 sen.
Firma itu menyukai UMC kerana kedudukannya yang mantap dalam industri peranti perubatan dan boleh guna yang disokong oleh hubungan kukuh dengan pelanggan sedia ada dan penyelidikan dalaman yang berterusan dan pembangunan peralatan perubatan.
"Pada masa sama, kami juga mengutamakan UMC kerana kedudukan margin bersihnya yang bertambah baik dilengkapi dengan pulangan atas ekuiti (ROE) dua digit yang kukuh selama ini," katanya. - DagangNews.com








