Mahu dikenali dengan identiti korporat baharu, Caely cadang tukar nama kepada 'Classita Holdings' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahu dikenali dengan identiti korporat baharu, Caely cadang tukar nama kepada 'Classita Holdings'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Okt - Caely Holdings Bhd. yang terpalit dengan isu penyelewengan dana, bercadang menukar namanya kepada 'Classita Holdings Bhd.' sekiranya mendapat kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang akan diumumkan kemudian. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Caely berkata, cadangan tersebut adalah untuk mempunyai identiti korporat baharu demi masa depan syarikat.

 

"Cadangan ini jika diluluskan oleh pemegang saham pada AGM akan datang, akan berkuat kuasa dari tarikh pengeluaran Notis Pendaftaran nama baharu di bawah Seksyen 28(4) Akta Syarikat 2016 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

"Notis berkenaan cadangan ini akan dikeluarkan kepada para pemegang saham dalam masa terdekat," katanya.

 

Baca : Isu seleweng dana: BoD baharu Caely sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa

 

Minggu lalu, seramai tujuh lembaga pengarah baharu Caely akan memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan berhubung dakwaan penyelewengan.

 

Pengerusi Eksekutifnya, Ng Keok Chai berkata, lembaga pengarah kumpulan baharu akan melakukan yang terbaik bagi faedah syarikat dan pemegang sahamnya.

 

Terdahulu, Caely memfailkan saman terhadap pengasas dan bekas pengarah eksekutifnya, Datin Fong Nyok Yoon, suaminya dan bekas pengarah urusan Datuk Chuah Chin Lai, dan 10 bekas pengarahnya berhubung dakwaan penyelewengan sebanyak RM30.55 juta daripada dana unitnya.

 

Defendan lain yang dinamakan dalam saman itu ialah bekas pengerusi syarikat itu Datuk Wira Ng Chun Hau dan bekas ahli lembaga pengarah Siow Hock Lee, Ooi Say Teik, Hem Kan @ Chan Hong Kee, Ng Boon Kang, Tan Loon Cheang, Lim Chee Pang, Lim Say Leong, Beh Hong Shien dan Gok Ching Hee.

 

Saman itu dibuat hanya sehari selepas Chun Hau mengumumkan bahawa beliau telah memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi terhadap syarikat bermasalah itu dan lembaga baharunya, berhubung kenyataan berunsur fitnah berhubung dana yang diselewengkan RM30.55 juta.

 

Dalam penutupan petang ini, harga saham Caely menokok 0.5 sen atau 1.69% kepada 30 sen dengan 7,500 saham diniagakan. - DagangNews.com