MAHB kekal dikawal kerajaan, Amir Hamzah sangkal dakwaan orang asing ambil alih lapangan terbang negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB kekal dikawal kerajaan, Amir Hamzah sangkal dakwaan orang asing ambil alih lapangan terbang negara

Cadangan ambil alih MAHB oleh konsortium ini adalah dengan hasrat menyediakan perkhidmatan lapangan terbang terbaik, kata Amir Hamzah. -Gambar hiasan DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kerajaan mengulangi penegasan yang Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports) kekal dikawal oleh kerajaan dengan pengurusannya tidak akan diambil alih oleh warga asing.

 

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dakwaan kononnya pihak asing akan mencampuri urusan atau mengambil alih lapangan terbang negara adalah tidak berasas sama sekali.

 

Beliau juga menekankan yang aspek keselamatan lapangan terbang kekal di bawah tanggungjawab agensi kerajaan  termasuk kawalan keluar masuk penumpang di bawah kendalian Jabatan Imigresen manakala pihak luar tidak boleh campur tangan.

 

“Tuduhan bahawa orang asing akan mengambil alih menguasai lapangan terbang negara tidak benar sama sekali.

 

“Semua lapangan terbang negara kekal milik kerajaan sementara MAHB berperanan sebagai operator atau pengendali lapangan terbang,” katanya pada sesi penerangan Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

 

amir
AMIR HAMZAH AZIZAN

 

Penerangan tersebut bagi menjelaskan penjualan saham MAHB kepada Global Insfrastructure Partners (GIP).

 

Amir Hamzah berkata kerajaan juga akan terus memegang saham khas atau ‘golden share’ dalam MAHB.

 

Berdasarkan hak saham khas itu juga, kata beliau, hanya kerajaan mempunyai kuasa untuk melantik pengerusi dan pengarah urusan MAHB dengan kedua-duanya adalah warganegara Malaysia.

 

“Oleh itu, tidak berbangkit seperti yang didakwa bahawa kerajaan menjual saham MAHB kepada pelabur asing.

 

“Rakan konsortium asing iaitu GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) hanya akan memegang saham minoriti MAHB sebanyak 30%. MAHB kekal dikawal oleh kerajaan,” tegasnya.

 

Berikut 5 penegasan Amir Hamzah yang terkandung di awal ucapan penerangan beliau:

 

PERTAMA: Kerajaan tidak menjual saham MAHB. Hakikatnya, Khazanah dan KWSP membeli saham MAHB bagi mengukuh pegangan mereka daripada 41% kepada 70%.

 

KEDUA: Pengurusan MAHB tidak akan diambil alih oleh warga asing. Lapangan terbang kekal milik Kerajaan. MAHB hanya bertindak sebagai operator lapangan terbang. Agensi penguat kuasa Kerajaan terus menguruskan aspek keselamatan.

 

KETIGA: Lapangan terbang Malaysia sudah ketinggalan berbanding negara serantau. Cadangan mengambil alih MAHB oleh Konsortium ini adalah dengan hasrat akhir untuk menyediakan perkhidmatan lapangan terbang terbaik buat rakyat dan penumpang.

 

KEEMPAT: Penyahsenaraian MAHB daripada pasaran awam akan membolehkan pembaharuan MAHB disegerakan. Usaha ini dapat memanfaat dana pelaburan yang diterima bagi menaik taraf kapasiti dan keselesaan kemudahan di semua lapangan terbang kita.

 

KELIMA: Penglibatan GIP hanya sebagai pelabur dan rakan teknikal yang beri khidmat nasihat dan berkongsi kepakaran mereka dalam meningkatkan tahap kecekapan lapangan terbang.

 

mahb

 

ARTIKEL BERKAITAN: Isu BlackRock: Berikut penjelasan Perdana Menteri di Dewan Rakyat

 

Sementara itu, Amir Hamzah dalam sesi itu turut menegaskan yang Malaysia tidak pernah menghalang mana-mana syarikat untuk melabur di negara ini, namun tegas dengan pendirian untuk tidak membenarkan syarikat milik Israel menjalankan aktiviti di negara ini.

 

Beliau berkata ketegasan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal itu, dapat dibuktikan apabila syarikat perkapalan ZIM milik Israel telah disekat daripada berlabuh di perairan Malaysia sejak Disember lepas.

 

“Walaupun kita tidak menghalang mana-mana syarikat untuk melabur di negara kita, tetapi tidak untuk syarikat milik Israel,” jelasnya.

 

Beliau berkata Kerajaan MADANI juga kekal teguh dalam pendirian mempertahankan dan membela nasib rakyat Palestin, selain peranan aktif turut dimainkan institusi di negara ini yang bersolidariti dan menyumbang untuk mangsa kekejaman Zionis.

 

Amir Hamzah berkata di platform antarabangsa, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak jemu untuk berbicara dan
menyuarakan gesaan kepada pemimpin dunia termasuk kuasa besar, agar kekejaman rejim Israel terhadap Palestin dihentikan segera.

 

Amir Hamzah berkata Malaysia juga telah menyuarakan ketegasan di persidangan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB), supaya negara Palestin mendapat keanggotaan penuh dalam badan dunia itu.

 

“Kita juga sokong penuh keputusan resolusi genjatan senjata dan konsisten salur bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza,” katanya.- DagangNews.com