MAHB catat 6.8 juta pergerakan penumpang pada Oktober 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB catat 6.8 juta pergerakan penumpang pada Oktober 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov - Malaysia Airports mencatatkan sebanyak 6.8 juta pergerakan penumpang, mewakili 67% daripada jumlah keseluruhan kumpulan sebanyak 10.2 juta pada Oktober 2023. 

 

Baki 33% disumbangkan asetnya di Türkiye, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) yang mengendalikan 3.3 juta pergerakan penumpang. 

 

Setakat tahun sehingga kini (YTD), kumpulan telah mencatatkan sejumlah 98.9 juta pergerakan penumpang iaitu 84.7% daripada tahap pra-pandemik pada 2019.

 

Operasi kumpulan di Malaysia melaporkan prestasi yang sama kukuh pada bulan lepas bagi kedua-dua sektor antarabangsa dan domestik masing-masing pada 3.4 juta pergerakan penumpang. 

 

Sektor antarabangsa menyaksikan pertumbuhan 3.6% berbanding September 2023 disebabkan peningkatan 3.3% dalam kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan yang ditawarkan pada Oktober 2023. 

 

Peningkatan dalam pergerakan penumpang antarabangsa turut disokong perkhidmatan baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Zhangjiajie, China oleh Batik Air Malaysia; Kertajati, Indonesia oleh Malaysia Airlines dan Padang, Indonesia oleh Super Air Jet.

 

Pergerakan penumpang domestik di Malaysia bagi Oktober 2023 mencapai 80.3% daripada paras 2019 iaitu 3.4 juta penumpang. Faktor beban purata bagi sektor domestik ialah 81.5%, kedua tertinggi setakat ini, selepas Ogos 2023 yang mencatatkan 82.2%.

 

Sementara itu di SAW, lapangan terbang itu masing-masing merekodkan 1.7 juta dan 1.6 juta bagi pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik. Prestasi SAW pada 3.3 juta pergerakan penumpang untuk Oktober 2023 meningkat sebanyak 4.7% di atas paras 2019.

 

Apabila tahun semakin hampir ke penghujungnya, prestasi operasi kumpulan dari segi pergerakan trafik udara pada Oktober 2023 menandakan satu lagi trajektori yang menjanjikan untuk pemulihan berterusan industri penerbangan.

 

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mengalu-alukan ketibaan dua syarikat penerbangan global pada Oktober bulan lepas. 

 

Qatar Airways menyambung semula laluan Doha-Phuket-Pulau Pinang dengan penerbangan harian manakala Thai Airways International membuat debutnya dengan memperkenalkan perkhidmatan harian baharu ke Bangkok. 

 

Penambahan itu menjadi bukti kebangkitan semula pelancongan di rantau ini. - DagangNews.com