KUALA LUMPUR 24 Feb - Lapangan terbang tempatan dalam Malaysia Airports Group mencatatkan 6.3 juta pergerakan trafik penumpang untuk Januari 2023.
Ini adalah bulan kedua berturut-turut yang mana jumlah trafik mencecah paras 6 juta dan ia mewakili 75% pemulihan terhadap peringkat pra-pandemik.
Trafik antarabangsa bernasib baik dengan 2.8 juta pergerakan penumpang direkodkan, sama seperti paras yang dilihat pada Disember 2022.
Pemulihan 62.5% berbanding paras 2019 ini terutamanya didorong oleh pembukaan semula sempadan antarabangsa China awal bulan lalu.
Baki 3.5 juta pergerakan penumpang terdiri daripada pergerakan penumpang trafik domestik yang dicatatkan disumbangkan musim perayaan dan tawaran penerbangan tambahan oleh MYAirline dan AirAsia.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood terus optimis dengan pemulihan kedua-dua perjalanan udara tempatan dan global.
Katanya, prestasi trafik kumpulan sangat positif dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
"Jumlah pergerakan trafik penumpang Januari berjumlah 9 juta, mewakili pemulihan 81.3% berbanding 2019, dengan operasi di Malaysia menyumbang hampir 70% daripada jumlah keseluruhan kumpulan.
"Perkembangan positif ini dapat dicapai dengan penyambungan semula operasi syarikat penerbangan dan laluan penerbangan secara berterusan, serta pengenalan destinasi baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bulan lalu, rakan kongsi syarikat penerbangan seperti MYAirline memperkenalkan penerbangan harian ke Tawau dari KLIA.
Bagi destinasi antarabangsa, Batik Air Malaysia memperkenalkan perkhidmatan baharu dari KLIA ke Sapporo-Chitose dan Osaka melalui Taipei dengan penerbangan tiga kali dan empat kali seminggu masing-masing.
AirAsia X juga memperkenalkan penerbangan baharu dari KLIA ke Osaka dengan kekerapan tiga kali seminggu.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) di Turkiye merekodkan 2.8 juta pergerakan penumpang untuk Januari, pertumbuhan 3.6% berbanding Disember 2022.
Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan 1.5 juta dan 1.4 juta penumpang. - DagangNews.com








