KUALA LUMPUR 13 Jun - Mah Sing Group Berhad telah merancang untuk membangunkan kediaman bertanah M Tiara dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM480 juta di Johor Bahru.
Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata cadangan pembangunan kediaman baharu itu terdiri daripada rumah teres dan kluster dua tingkat.
Rumah kediaman bertanah itu akan dijual dengan harga indikatif bermula daripada RM624,800 dengan pendaftaran disasarkan pada separuh pertama tahun depan.

“M Tiara terletak di lokasi strategik antara perbandaran Mutiara Rini dan Lima Kedai, di mana ia berada dalam jarak 5 kilometer dari Stadium Sultan Ibrahim dan mudah diakses melalui lebuh raya utama dan jalan utama,” katanya.
Mah Sing mengumumkan projek tersebut susulan pembelian tanah pegangan bebas seluas kira-kira 75.7 hektar di Mukim Pulai, Johor Bahru pada harga RM76 juta yang akan dijadikan tapak pembangunan M Tiara.
Di tanah yang baharu dibeli itu, Mah Sing berkata ia mempunyai ketersambungan yang baik, tadahan mantap dan kemudahan sedia ada di sekitarnya justeru M Tiara bersedia untuk memenuhi permintaan pasaran semasa daripada pembeli rumah pertama dan mereka yang hendak menaik taraf dari perbandaran matang berhampiran.
Projek M Tiara, katanya, adalah sejajar dengan strategi pengembangannya di Johor memandangkan negeri itu merupakan wilayah pembangunan kedua terbesar kumpulan itu.
Di samping itu, pengambilalihan tanah tersebut menandakan perjanjian tanah keduanya bagi tahun ini selepas pembelian tanah seluas lapan hektar di Puchong awal tahun ini untuk pembangunan Transit Environment District (TED) M Terra dan M Hana dengan anggaran GDV kira-kira RM726 juta.
“Mah Sing akan terus mencari tanah lebih strategik di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor disokong oleh kunci kira-kira yang sihat dengan tunai dan baki bank serta pelaburan dalam dana jangka pendek kira-kira RM706.9 juta seperti yang dilaporkan dalam keputusan suku pertama tahun ini,” katanya.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata M Tiara terletak di lokasi yang matang dan mudah diakses oleh institusi pendidikan, pusat beli-belah, kemudahan rekreasi dan kemudahan lain.

“Kami percaya pembeli rumah kali pertama atau mereka yang ingin menaik taraf dari kawasan berhampiran sambil kekal dekat dengan lokasi biasa akan mendapati M Tiara menarik,” ujar beliau. -DagangNews.com








