MADCash sedia pembiayaan RM90,000 kepada 60 peserta program Wanita Jana Rezeki anjuran PWDC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MADCash sedia pembiayaan RM90,000 kepada 60 peserta program Wanita Jana Rezeki anjuran PWDC

MADCash menghadiri pelancaran Program Wanita dalam Ekonomi, yang berlangsung pada 17 Julai 2023 di Bilik Mesyuarat Jed, Aras 31, KOMTAR, Pulau Pinang.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Madcash Sdn. Bhd., pembangun platform fintech MADCash (Multiply Assist Donate Cash) akan menyediakan pembiayaan mikro berjumlah RM90,00 kepada setiap 60 usahawan wanita B40 yang menyertai program Wanita Jana Rezeki.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, MADCash berkata setiap peserta akan memperoleh pembiayaan RM1,500 bagi membantu mereka menampung kos menghadiri kursus disediakan yang terdiri daripada kelas masakan, jahitan, atau penjagaan selepas bersalin.

 

Syarikat itu bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) yang menganjurkan program peningkatan kemahiran tersebut selama tiga bulan, bermula pada September hingga November.

 

Usahawan wanita yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan mikro daripada MADCash perlu memohon melalui platform dalam talian, di mana ia bebas faedah dan penerima dikehendaki membayarnya dalam tempoh sepuluh bulan.

 

Program Wanita Jana Rezeki oleh PWDC disasarkan untuk memastikan usahawan mendapat kemahiran daripada tenaga pengajar yang berkelayakan, membantu mereka menghasilkan produk untuk memenuhi permintaan pasaran dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk bersaing dalam dunia perniagaan.

 

“Pembiayaan tersebut membolehkan peserta mendapat pendidikan dan kemahiran yang betul daripada jurulatih yang berkelayakan. Ini adalah langkah penting yang boleh menjadikan mereka peniaga yang lebih baik selain membantu mereka meningkatkan mata pencarian,” ulas Pengarah Urusan MADCash, Nuraizah Shamsul Baharin.

 

 

Nuraizah Shamsul Baharin
Nuraizah Shamsul Baharin

 

 

Nuraizah berkata pihaknya terus memantau kemajuan usahawan yang terlibat dan mereka akan mendapat sokongan daripada MADCash dalam bentuk peningkatan kemahiran kewangan dan perniagaan, rangkaian, bimbingan, dan sokongan rakan peniaga, bernilai RM3,000 seorang.

 

Berkongsi objektif program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng berkata ia direka untuk menyokong wanita daripada golongan berpendapatan rendah untuk membina aliran pendapatan mereka.

 

“Tahun ini, program ini memberi tumpuan kepada kemahiran usahawan yang berkaitan dengan masakan, jahitan, dan penjagaan lepas bersalin.

 

“Kerjasama dengan MADCash membolehkan kami terus mendekati lebih ramai usahawan wanita yang memerlukan sokongan dalam membina atau mengembangkan perniagaan mereka,” ujar beliau. - DagangNews.com