KUALA LUMPUR 2 Mac - Pelupusan dua buah hospital di Indonesia dengan nilai keseluruhan perusahaan sebanyak RM150 juta akan meringankan beban terhadap pendapatan KPJ Healthcare, menurut Kenanga Research yang positif terhadap pelupusan itu.
Firma itu juga menjangkakan peningkatan daya pengeluaran pesakit KPJ sebanyak 14% dan kadar penghunian katil (BOR) sebanyak 66% memandangkan permintaan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta kembali meneruskan pertumbuhan pasca pandemik.
Menurut firma penyelidikan itu, cadangan pelupusan itu melibatkan penjualan unit KPJ yang merugikan iaitu 75% pegangan dalam PT KPJ Medica (KPJM) dan 100% pegangan dalam PT Al-Aqar Bumi Serpong Damai (AABSD) pada harga sementara RM13.6 juta.
“Kami positif dengan penjualan ini yang sejajar dengan strategi kumpulan untuk mengkaji semula operasi dan pelaburannya di Indonesia yang telah menjejaskan pendapatan sejak beberapa tahun lalu,” tambahnya.
Mengulas lanjut pelupusan itu, firma itu berkata KPJ dijangka mencatat keuntungan RM60 juta dan jumlah RM150 juta itu dijangka mengurangkan hutang bersih kepada RM1.27 bilion daripada RM1.4 bilion yang direkodkan pada 31 Disember 2022.
Selain itu, ketiadaan kerugian bersih RM14 juta daripada kedua-dua hospital itu dijangka meningkatkan keuntungan bersih sebanyak 6% dalam tahun kewangan 2023 (FY23).
KPJ menjadi pilihan firma tersebut disebabkan ‘keanjalan harga permintaan’ yang rendah untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan, di mana pemain sektor kurang terdedah kepada inflasi yang tinggi kerana mereka mampu meneruskan operasi walaupun terdapat kos yang tinggi.
Selain itu, KPJ memainkan peranan untuk pengoperasian semula, terutamanya bagi pembedahan elektif.
Tambah firma itu lagi, KPJ menjadi pilihan disebabkan kedudukannya yang kukuh dalam pasaran Malaysia dengan rangkaian terbesar 29 hospital swasta berbanding IHH Healthcare yang berada di tempat kedua dengan 16 hospital swasta.
Oleh itu, Kenanga mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM1.50 sementara menunggu penyelesaian perjanjian pelupusan itu. -DagangNews.com








