LTSAAS Subang kendali 3 juta penumpang setahun sebaik pesawat jet komersial kembali beroperasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LTSAAS Subang kendali 3 juta penumpang setahun sebaik pesawat jet komersial kembali beroperasi

LTSAAS Subang dijangka mengendalikan sehingga lapan juta penumpang setahun menjelang 2030 dengan fasa interim bakal menyaksikan pertambahan sehingga 3 juta penumpang setahun.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Mac -   Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dijangka mengendalikan sehingga lapan juta penumpang setahun menjelang 2030 berbanding 1.5 juta penumpang setahun ketika ini.

 

Menurut Pengurus Besar KLIA Aeropolis Sdn Bhd (KASB), Randhill Singh peningkatan penumpang secara berperingkat itu dilalukan menerusi perancangan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP).

 

Kata beliau, fasa sementara SARP akan menyaksikan penggunaan kapasiti terminal penumpang LTSAAS meningkat kepada 3 juta penumpang setahun dengan pihaknya sedia mengendalikan penerbangan komersial pesawat jet berbadan sempit seperti Boeing 737 atau Airbus 320 pada hujung bulan ini.

 

"SARP mempunyai tiga segmen iaitu lapangan terbang bandar, perniagaan penerbangan dan pembangunan ekosistem aeroangkasa," katanya kepada pemberita sempena lawatan tapak SARP bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) di LTSAAS Subang hari ini.

 

sarp
Randhill Singh (kiri) menerangkan kepada wakil media pembangunan zon untuk segmen perniagaan penerbangan ketika lawatan tapak SARP di LTSAAS Subang hari ini. 

 

 

Jelas Randhill, pembangunan lapangan terbang bandar di Terminal Sky Park telah bermula dan ia akan menggandakan jumlah kendalian penumpang kepada 3 juta penumpang setahun pada hujung Jun tahun ini yang juga menandakan lengkapnya fasa awal SARP.

 

"Kita juga sedang bersiap sedia mengendalikan pesawat jet komersial selain daripada pengendalian ATR-72 dan jet peribadi

 

"Kita mempunyai ruang untuk enam pesawat jet dan lima ATR di Subang," katanya sambil menegaskan pembangunan LTSAAS adalah saling melengkapi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Jelas Randhill, sekarang ini sudah boleh disaksikan kemajuan SARP yang dibangunkan dalam empat zon, menepati sasaran ketiga-tiga segmen.

 

mro
ExecuJet antara syarikat aeroangkasa yang beroperasi di Subang yang menawarkan pelbagai peluang kerja berkualiti tinggi kepada tenaga mahir tempatan. 

 

Beliau berkata, pada penghujung 2030 dijangkakan sebanyak 8,000 peluang pekerja dapat disediakan hasil daripada pembangunan semula Subang.

 

Katanya, SARP bagaikan magnet peluang pekerjaan yang memerlukan tenaga pekerja di pelbaga peringkat dengan kebanyakannya bakal diisi warga tempatan.

 

"Syarikat industri penerbangan yang beroperasi di Subang sangat mengutamakan tenaga tempatan termasuk jurutera yang menawarkan kerja bernilai tinggi," ujarnya.

 

Pelbagai syarikat berkaitan perniagaan aero angkasa  sedang dan bakal beroperasi di Subang daripada penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sehinggalah kepada pengeluaran komponen pesawat.- DagangNews.com