KUALA LUMPUR 15 Ogos - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang pernah menjadi perhatian ramai berikutan perletakan jawatan beberapa orang pengurusan kanannya awal tahun ini mengumumkan pelantikan Haizad Rizal A. Aziz sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu, berkuat kuasa 15 Ogos 2024.
Haizad Rizal membawa lebih daripada 22 tahun pengalaman yang cemerlang dalam pengurusan kewangan dan kepimpinan strategik merentasi pelbagai industri.
Haizad Rizal telah memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan di Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebelum ini. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan di Sime Darby Oils dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan di Kumpulan SME Bank dari tahun 2016 hingga 2024.
Haizad Rizal memulakan kerjaya di Ireland, di mana beliau telah berkhidmat selama satu dekad di organisasi-organisasi terkenal seperti BDO Simpson Xavier, Daiwa Europe Fund Managers dan KPMG.
Beliau kembali semula ke Malaysia pada tahun 2009, mengambil alih peranan kepimpinan termasuk Ketua Laporan Statutori dan Pengurusan Kumpulan di
RHB Bank Berhad, diikuti oleh Ketua Kewangan di RHB Islamic Bank.
Haizad juga telah berkhidmat sebagai Naib Presiden di RHB Investment Bank Berhad sebelum memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan di Kumpulan Syarikat Johawaki pada tahun 2013.
Pengalaman beliau yang luas telah dibuktikan melalui kelayakan akademiknya, termasuk menjadi ahli bersekutu (FCA) dari Institute of Chartered Accountants Ireland (ICAI).
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Perakaunan dan Kewangan dari Liverpool John Moores University dan telah menamatkan Program Pengurusan Lanjutan dan Kepimpinan di Said Business School, Universiti Oxford.
ARTIKEL BERKAITAN: LTAT lantik bekas Panglima Tentera Udara Azizan Ariffin sebagai Pengerusi, Mohammad Ashraf sebagai Ketua Eksekutif
Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Ashraf Radzi berkata, pihaknya amat berbesar hati mengalu-alukan Haizad Rizal ke LTAT.
"Pelantikannya mencerminkan komitmen teguh kami terhadap pengurusan kewangan dan tadbir urus yang cemerlang. Kepakaran Haizad akan memainkan peranan penting dalam membawa LTAT ke arah tadbir urus operasi yang berintegriti dan juga kemajuan yang berterusan.
"Kami yakin bahawa kepimpinannya akan memperkukuh misi kami untuk memastikan pengurusan kewangan yang bijak, selaras dengan aspirasi Perdana Menteri seperti yang dinyatakan semasa pelancaran Garis Panduan Pengurusan dan Tadbir Urus Badan Berkanun Persekutuan baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashraf, kepimpinan Haizad juga akan mengukuhkan komitmen LTAT terhadap kesejahteraan Anggota Angkatan Tentera Malaysia dan menyediakan perlindungan sosial secara menyeluruh kepada mereka yang berkhidmat demi negara ini.
LTAT pernah menjadi tumpuan ramai susulan peletakan jawatan beberapa orang pengurusan kanannya yang bermula pada 2 Februari 2024 apabila Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Eksekutif.
Seminggu kemudian, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula melepaskan jawatan sebagai Pengerusi pada 8 Februari dan ini diikuti tindakan serupa oleh Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar.
Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin kemudian diumumkan sebagai Pengerusi LTAT dan Mohammad Ashraf Md Radzi sebagai Ketua Eksekutif Lembaga itu berkuat kuasa 1 April 2024.- DagangNews.com








