LTAT isytihar dividen 5% bagi 2023 dengan agihan berjumlah RM485 juta | DagangNews Skip to main content

LTAT isytihar dividen 5% bagi 2023 dengan agihan berjumlah RM485 juta

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman (dua dari kanan), Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin (kanan) dan Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi (kiri) pada Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2023 di ibu negara pada 4 April 2024.

KUALA LUMPUR 4 April - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5%, sama seperti 2022 dengan bayaran yang lebih tinggi.

 

LTAT dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengagihkan sejumlah RM485.08 juta berbanding RM476.45 juta yang dibayar pada 2022.

 

Kumpulan itu yang kebanyakannya menguruskan simpanan persaraan anggota tentera, mengagihkan dividen kepada 123,380 pencarum.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kadar dividen yang diumumkan ini secara asasnya menzahirkan perkembangan positif buat LTAT untuk memberi kadar dividen yang telah beransur pulih, mampan dan stabil.

 

"Pengumuman dividen ini adalah berdasarkan posisi kewangan LTAT yang kukuh. Keseluruhan gabungan rizab LTAT merekodkan kedudukan kewangan yang sentiasa positif.

 

"Kadar dividen yang diumumkan ini adalah perkembangan yang positif buat LTAT kerana ia berjaya untuk memberi kadar dividen yang beransur pulih, mampan dan stabil," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

 

 

ltat

 

 

Beliau berkata, sebagai sebuah kumpulan wang simpanan bagi angkatan tentera, LTAT memikul mandat yang besar dan kritikal.

 

"Jika kita soroti prestasi pada 2023, LTAT melalui fasa transformasi yang signifikan bagi melonjakkan semula prestasi dan imejnya.

 

"Ini termasuk memperkenalkan pelbagai penambahbaikan terhadap pengukuhan tadbir urus, memulih dan meningkatkan pulangan pelaburan dan menambah baik mutu perkhidmatan kepada pencarum," katanya.

 

Mengulas dakwaan krisis kewangan yang dihadapi LTAT, Khaled berkata perkara itu berlaku apabila pihak di luar tidak membuat semakan dan terus mempercayai bulat-bulat tuduhan itu.

 

"Kita tidak mungkin umumkan dividen sebegini sekiranya kita tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kuat dan kukuh.

 

"Dalam perkara ini, perlu bertanggungjawab.. jangan hanya dengar daripada pihak lain dan selepas sekian lama, baru nak tanya. Ini sebagai satu pengajaran," katanya.

 

Menurutnya, pendapatan bersih LTAT meningkat kepada RM537.80 juta pada tahun lalu berbanding RM432.47 pada tahun 2022 yang mana peningkatan sebanyak 24 peratus.

 

"Keuntungan terkumpul selepas dividen LTAT juga telah mula berkembang dengan lebih besar kepada RM756.81 juta berbanding RM498.7 juta pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 52 peratus dan berbanding hanya RM38.7 juta pada penghujung tahun 2018.

 

"Secara ringkasnya, saya boleh katakan, bahawa majlis pengumuman dividen pada hari ini adalah bukti terbaik kejayaan komitmen dan pelaksanaan pelbagai program transformasi yang telah dijalankan.

 

"Pengumuman dividen hari ini adalah berdasarkan posisi kewangan LTAT yang kukuh," katanya.- DagangNews.com