KUALA LUMPUR 28 Jun - Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sekuriti Makanan Negara bersetuju dengan cadangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk melaksanakan Program Stok Simpanan Ikan Segar Beku QFish dalam usaha menangani isu kekurangan bekalan ikan terutama ketika musim tengkujuh serta isu kenaikan harga di pasaran tempatan disebabkan permintaan yang tinggi.
LKIM dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam usaha menstabilkan harga dan mengimbangi bekalan, sejumlah RM7 juta diperuntukkan LKIM untuk dijadikan modal pusingan pembelian ikan tempatan sebanyak 1,000 MT sebagai stok simpanan yang akan ditempatkan di 130 bilik sejuk LKIM.
Menurut LKIM, stok simpanan itu akan ditambah dari masa ke semasa mengikut musim serta mengambil kira faktor penawaran dan permintaan semasa ikan di pasaran.
"Berhubung isu bekalan ikan, tinjauan LKIM mendapati bekalan ikan adalah mencukupi dan konsisten dengan kadar permintaan.
"Bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui LKIM mengambil langkah responsif terhadap kegusaran rakyat atau pengguna serta terus proaktif memastikan kelangsungan bekalan makanan terjamin," menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut LKIM, pihaknya telah menggariskan 4 strategi pelaksanaan, antaranya persatuan nelayan dan anak syarikat bertindak sebagai pemain utama (pembekal) dalam stok penimbal serta rantaian pemasaran ikan QFish.
"Strategi kedua ialah stok akan ditampung syarikat swasta melalui kerjasama dengan penglibatan persatuan nelayan. Selain itu, saluran pemasaran akan dikembangkan melalui ejen QFish yang dilantik pembekal-pembekal di setiap kawasan Parlimen.
"Medium pemasaran dipelbagaikan melalui kaedah digital, kempen, promosi, karnival jualan dan rangka kerjasama bersama kementerian, jabatan/agensi, koperasi dan syarikat penghantaran," katanya.
Tambah kenyataan itu, MAFI dan LKIM komited menangani isu tersebut daripada terus berbangkit dengan menyediakan bilik sejuk bagi membolehkan lebihan ikan pada musim biasa disimpan secara sejuk beku dan dikeluarkan apabila diperlukan atau sewaktu musim ikan tidak mencukupi terutama musim tengkujuh.
"Usaha ini dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan bekalan ikan adalah mencukupi sepanjang tahun serta sebagai langkah membantu menstabilkan harga ikan pada musim tengkujuh," katanya.
Katanya, pengguna boleh mendapatkan bekalan ikan segar beku QFish di 135 pasar nelayan LKIM, 103 outlet dan 222 ejen dengan harga tetap RM10 sekilogram bagi ikan seperti selar, selayang, pelaling, tongkol dan sebagainya.
"LKIM dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) telah mengambil inisiatif untuk membuat jualan ikan segar beku QFish secara dalam talian seperti aplikasi Facebook, WhatsApp, Grab, Shopee dan laman web nekmatbiz.com.my bagi memudahkan pelanggan membuat pembelian.
"LKIM sentiasa peka dan prihatin segala permasalahan yang berlaku dalam industri perikanan negara serta terus komited memastikan bekalan ikan negara terjamin dalam apa jua keadaan," katanya. - DagangNews.com








