Liputan meluas media bantu Politeknik Ungku Omar promosikan pendidikan TVET | DagangNews Skip to main content

Liputan meluas media bantu Politeknik Ungku Omar promosikan pendidikan TVET

Shamsuri bersalaman dengan wakil media pada Program Meet & Greet Media Perak Bersama PUO.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 18 April - Paparan pelbagai berita termasuk pencapaian graduan serta alumni Politeknik Ungku Omar (PUO) membantu institusi itu mempromosikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

 

TVET kini berperanan penting dalam pembangunan ekonomi negara kerana ia menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran. 

 

Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, ini seterusnya membantu mencapai matlamat menjadikan PUO sebagai sebuah institusi TVET yang terkemuka.

 

Katanya, liputan meluas media mengenai perkembangan ini telah menarik minat dan perhatian masyarakat terhadap transformasi, evolusi dan penjenamaan PUO terutama yang melibatkan lulusan TVET.

 

Puo
Shamsuri menyampaikan sijil penghargaan media kepada wartawan Dagang News.

 

“Pada tahun lalu, PUO telah menerima sebanyak 199 liputan berita dari pelbagai medium media dengan nilai berita berjumlah RM987,180.

 

“Sepanjang tahun ini pula, sebanyak 73 liputan berita diberikan kepada PUO manakala nilai beritanya sebanyak RM398,024.

 

“Hasil daripada kerjasama media ini, PUO telah berjaya membina imej dan jenama yang positif di kalangan masyarakat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Program Meet & Greet Media Perak Bersama PUO yang diadakan di kampus pusat pengajian tinggi tersebut.

 

Majlis disertai wakil-wakil 23 buah agensi media di Perak termasuk Dagang News.

 

PUO
Sebahagian daripada 35 petugas media pelbagai agensi yang hadir pada Program Meet & Greet Media Perak Bersama PUO.

 

Tambah Shamsuri, PUO ketika ini mempunyai seramai 88,567 orang alumni berbanding hanya 1,200 pada tahun 1974.

 

“Tahun lalu PUO telah dinaik taraf kepada politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang pertama di negara ini.

 

“Ini merupakan transformasi penting dan penanda aras untuk menjadi institusi teknologi unggul dalam memenuhi keperluan pendidikan TVET,” ujarnya. - DagangNews.com