Lesen perbankan digital dijangka rancakkan aktiviti M&A dalam sektor kewangan tahun ini | DagangNews Skip to main content

Lesen perbankan digital dijangka rancakkan aktiviti M&A dalam sektor kewangan tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Mac - Momentum bagi aktiviti pengambilalihan dan penggabungan (M&A) dijangka berterusan tahun ini walaupun Malaysia beralih kepada fasa endemik mulai 1 April ini, menurut KPMG Malaysia. 

 

Ketua Penasihatnya, Chan Siew Mei berkata, meskipun mengalami sedikit penurunan pada 2020, tetapi ia kembali meningkat merentasi semua sektor pada tahun lalu, disebabkan urus niaga yang tertangguh dan keyakinan pelabur semakin kukuh. 

 

Katanya, sektor perkhidmatan kewangan khususnya menyaksikan pertumbuhan ketara dari segi aktiviti M&A di rantau Asia Pasifik. 

 

"Di Malaysia, sebanyak 31 urus niaga dimuktamadkan dalam sektor ini dengan nilai berjumlah AS$1.63 bilion setakat akhir 2021.

 

"Pada masa sama, terdapat beberapa peluang urus niaga bernilai tinggi dalam landskap ini. Sebagai contoh, subsektor pengurusan aset kekal menarik minat pelabur antarabangsa dan tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Baru-baru ini, Affin Bank Bhd. bersetuju untuk memindahkan pegangannya dalam Affin Hwang Asset Management Bhd. kepada dana ekuiti persendirian yang berpangkalan di Luxembourg, CVC Capital Partners membabitkan urus niaga bernilai AS$267 bilion. 

 

Menurut Siew Mei, minat berterusan ini memberi petanda baik kepada dana unit amanah dan dana Islam, yang kedua-duanya menyaksikan pertumbuhan ketara dalam pasaran.

 

Malah, katanya, subsektor insurans juga menyaksikan pertumbuhan yang ketara dengan urus niaga mencecah AS$856 juta pada tahun lalu disebabkan pengambilalihan syarikat insurans tempatan oleh Assicurazioni Generali dari Itali dan Liberty Mutual Insurance, Amerika Syarikat (AS).

 

"Sektor ini berkemungkinan menyaksikan lebih banyak penggabungan, terutama pengambilalihan penanggung insurans Malaysia oleh syarikat multinasional asing, kerana penanggung insurans global terus berusaha mengembangkan operasi mereka melalui M&A merentas sempadan," jelasnya.

 

Selain itu, tambahnya, sektor teknologi kewangan (fintech) dan perbankan digital di Malaysia juga didapati memperoleh manfaat daripada peningkatan dalam aktiviti M&A, didorong oleh kadar penggunaan digital yang tinggi dan peningkatan penggunaan e-dompet.

 

Menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia untuk mengeluarkan sehingga 5 lesen perbankan digital menjelang akhir bulan ini.

 

Katanya, sebanyak 29 pemohon untuk lesen perbankan digital termasuk beberapa konsortium perbankan digital, yang terdiri daripada bank dan syarikat bukan bank.

 

"Kami melihat beberapa niaga janji M&A yang ketara setakat ini dalam sektor kewangan, dan kami boleh menjangkakan perniagaan yang bijak akan merebut peluang M&A selanjutnya dalam sektor ini.

 

"Pelabur kini lebih yakin merancang untuk tempoh jangka panjang, dan kami menjangkakan lebih banyak prospek menarik akan timbul pada tahun-tahun akan datang," katanya.

 

Bagaimanapun, menurutnya, cabaran yang timbul daripada ketegangan geopolitik semasa dan kejutan bekalan global boleh menjejaskan proses penjualan dan pembelian. 

 

"Ini kerana perniagaan akan lebih teliti dalam proses usaha wajar mereka sebelum meneroka sebarang peluang urus niaga baharu," tambahnya. - DagangNews.com