Leform raih kontrak bernilai AS$1.95 juta bekal pagar lebuh raya bagi projek pembaikan jalan di Kemboja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Leform raih kontrak bernilai AS$1.95 juta bekal pagar lebuh raya bagi projek pembaikan jalan di Kemboja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Nov - Leform Berhad menerusi  Leform Metal Sdn. Bhd. bersama Nim Meng Group Co. Ltd.  meraih kontrak bernilai AS$1.95 juta bagi membekalkan pagar lebuh raya bagi projek pembaikan Jalan Nasional No. 5, pakej 4 di Kemboja.

 

Projek itu bertujuan meningkatkan kapasiti pengangkutan serta kecekapan logistik di bahagian antara Thlea Puan dan Battambang dan Sri Sophorn-Poipet di sepanjang Jalan Nasional No. 5 yang menghubungkan Phnom Penh dan sempadan Thailand, dengan menambah baik keadaan jalan sedia ada dan membina pintasan baharu di Pursat.

 

Pengarah Urusan Leform, Law Kok Thye berkata, kontrak baharu ini mewakili langkah strategik pihaknya bagi mengembangkan jejak perniagaan serantau serta menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dalam industri keluli.

 

"Kami yakin dapat melaksanakan projek itu berdasarkan spesifikasi pelanggan.

 

"Oleh itu, kami berharap untuk memenangi lebih banyak projek dalam jangka masa terdekat dan pertengahan dengan memanfaatkan kepakaran yang akan menyumbang untuk membina rekod prestasi yang lebih kukuh dalam industri,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Walaupun industri keluli menghadapi permintaan yang lemah akibat faktor makroekonomi yang tidak menggalakkan serta ketidakstabilan geopolitik, kumpulan itu optimis bahawa pelaksanaan projek domestik seperti diumumkan semasa Belanjawan 2024 akan berpotensi untuk meningkatkan semula permintaan keluli.

 

Kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. - DagangNews.com