Lebih sejuta rakyat Malaysia tandatangan petisyen tolak GEG - MVIA | DagangNews Skip to main content

Lebih sejuta rakyat Malaysia tandatangan petisyen tolak GEG - MVIA

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - Kerajaan tidak boleh meremehkan pandangan lebih sejuta rakyat Malaysia yang menolak pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG) serta tidak bersetuju dengan cadangan mengharamkan penggunaan produk vape untuk generasi akan datang yang mencapai umur dewasa nanti.

 

Menurut Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria, suara rakyat itu adalah berdasarkan satu petisyen yang dijalankan secara dalam talian oleh Malaysia Bersuara yang berjaya mengumpulkan lebih satu juta tandatangan sebagai tanda tidak bersetuju dari rakyat Malaysia.

 

"Satu juta bukanlah jumlah yang sedikit. Ramai yang tidak bersetuju. Kenapa mahu teruskan sesuatu yang begitu drastik yang akan menjejaskan industri.

 

"Larangan dikenakan pada industri ini bukan sahaja memberi kesan kepada rantaian industri, tetapi seluruh ekosistem yang terlibat secara tidak langsung, termasuk industri peruncitan, pengilangan, logistik, pergudangan, penawaran pekerjaan dan sebagainya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Rizani berkata, tindakan yang drastik seperti itu adalah sukar untuk dilaksanakan kerana ia berpandukan penguatkuasaan yang penuh cabaran.

 

"Industri vape baru sahaja dibenarkan untuk beroperasi secara sah. Polisi ini pula dikenakan dan ia seumpama meletakkan satu tarikh untuk industri dilarang sepenuhnya," katanya.

 

Katanya, baru-baru ini terdapat pengumuman pelaburan daripada syarikat pelabur besar dari China di Melaka, yang mana Ketua Menteri Melaka menjadi sebahagian daripada tujuh projek bernilai RM3.5 bilion.  

 

 

mvia
                                       Rizani Zakaria

 

 

Menurut Rizani, polisi sebegini hanya akan menakutkan pelabur dari luar negara dalam sektor industri vape negara dan menyebabkan mereka mengalihkan pelaburan mereka ke negara lain.

 

Ia juga membuatkan negara hilang peluang pekerjaan yang boleh diwujudkan dan juga menyebabkan pelaburan dalam sektor ini semakin merosot, katanya.

 

"Kita faham kerajaan ingin membuat kawal selia ke atas industri dan kami sokong kewujudan kawal selia untuk industri. Tetapi, pengharaman adalah tindakan yang terlampau drastik," katanya.

 

Dalam pada itu, Rizani mempelawa lebih banyak rakyat Malaysia yang turut berpendapat bahawa GEG tidak harus dilaksanakan, boleh menurunkan tandatangan di laman web Malaysia Bersuara. - DagangNews.com