Lebih 60,000 rider foodpanda Malaysia bakal dapat manfaat SPS Padanan Caruman Perkeso | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 60,000 rider foodpanda Malaysia bakal dapat manfaat SPS Padanan Caruman Perkeso

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 April - foodpanda Malaysia hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menyedia dan memperluaskan liputan perlindungan sosial kepada lebih 60,000 rakan penghantarnya di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso.

 

MoU yang telah ditandatangani Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Sayantan Das disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

 

Rakan penghantar atau 'rider' turut menerima bantuan subsidi caruman tambahan oleh foodpanda Malaysia, di samping bantuan subsidi sedia ada bagi caruman SKSPS daripada kerajaan menerusi inisiatif SPS Padanan Caruman di bawah Bajet 2022.

 

Saravanan berkata, SPS Padanan Caruman merupakan satu insentif yang ditawarkan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS), termasuk pekerja-pekerja gig, bagi memastikan mereka dilindungi sekiranya berlaku sebarang kemalangan semasa menjalankan tugas. 

 

"Ini seiring dengan nilai-nilai Keluarga Malaysia yang digagaskan kerajaan untuk menerapkan sifat kasih sayang dalam kalangan masyarakat di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

SKSPS merupakan skim yang memberi perlindungan kepada individu menjalankan pekerjaan sendiri daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti bekerja. 

 

Antara faedah yang ditawarkan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara dan Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Pendidikan dan Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional.

 

 

foodpanda
Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (tiga dari kiri) bersama Datuk Seri M. Saravanan dan Sayantan Das ketika sesi pemeteraian MoU foodpanda Malaysia dan Perkeso.

 

 

Mohammed Azman pula berkata, inisiatif SPS Padanan Caruman akan menawarkan perlindungan bersubsidi kepada OBS melalui SKSPS Perkeso untuk tempoh setahun.

 

"Kerajaan akan membiayai 80% daripada Pelan 2 caruman SKSPS (RM186.20), manakala OBS hanya perlu membayar baki 20% (RM46.60) sahaja,” katanya.

 

Sayantan berkata, syarikat mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan Perkeso kerana telah menerajui inisiatif murni bagi manfaat rakan penghantar. 

 

 

foodpanda

 

 

"Sebagai disruptor dalam ruangan q-commerce, misi kami adalah untuk menambah baik kualiti kehidupan komuniti B40 dengan menambah  pendapatan melalui platform kami. Ia sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menerusi galakan digital dan teknologi, serta menjadi peneraju dalam ekonomi digital.

 

"foodpanda Malaysia berazam untuk melindungi rakan penghantar kami dan ini sentiasa menjadi keutamaan memandangkan mereka terdedah kepada persekitaran kerja yang agak berbahaya setiap hari. Kami berharap inisiatif ini akan membantu mengurangkan bebanan mereka untuk membayar caruman bagi skim perlindungan Perkeso dan menggalakkan lebih ramai rakan penghantar untuk mendaftar,” katanya.

 

Menerusi kolaborasi strategik itu, foodpanda Malaysia akan menawarkan bantuan subsidi tambahan sebanyak 50% daripada baki (atau 10% daripada jumlah keseluruhan) keseluruhan caruman yang perlu dibayar oleh rakan penghantarnya yang berjumlah RM23.30 bagi setiap individu, untuk tempoh perlindungan selama setahun. - DagangNews.com