KUALA LUMPUR 25 Julai - Karnival Robotik anjuran JAZRO yang julung kali diadakan di Kompleks Beli-belah Evo Mall di Bangi baru-baru ini mendapat sambutan memberangsangkan apabila merekodkan seramai 630 peserta, termasuk kumpulan pelajar dari lima buah sekolah.
Acara tersebut bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai robotik dalam kalangan kanak-kanak berumur 7 hingga 17 tahun dan dianggarkan kira-kira 2,000 pengunjung hadir dalam acara tersebut.
Pengasas Bersama JAZRO, berkata, Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, pihaknya mahu membawa kanak-kanak lebih dekat dengan teknologi digital melalui aktiviti-aktiviti penglibatan secara langsung.
"Kami jadikan proses pembelajaran menyeronokkan dan pendekatan ini berkesan terhadap kanak-kanak yang ambil bahagian dalam pertandingan, bengkel serta aktiviti lain semasa Karnival Robotik. Kami teruja dengan sambutan positif ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ir. Dzulfarqeish, mereka menyasarkan untuk menganjurkan acara sedemikian pada masa akan datang di Lembah Klang.
"Karnival Robotik Bangi telah memberi kami inspirasi untuk terus anjurkan acara yang sama untuk memupuk kesedaran yang lebih tinggi mengenai robotik dalam kalangan kanak-kanak, termasuk mereka dari keluarga B40," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall, Mohd Fauzi Ibni Hajar pula berkata, mereka bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan sekumpulan profesional muda berbakat di JAZRO, yang telah membantu pasukan Evo Mall untuk menganjurkan acara yang sangat berjaya.


"Melihat kepada sambutan yang luar biasa ini daripada komuniti kejiranan, kami percaya bahawa acara seperti ini harus diadakan lebih kerap selaras dengan misi kami untuk menjadi 'pusat membeli-belah mesra komuniti'.
"Kami tahu bahawa kami dapat memenuhi keperluan penduduk Bangi khususnya untuk mengadakan sebarang acara berorientasikan pendidikan dan keluarga di premis kami," katanya.


Selain menyertai pelbagai bengkel dan pertandingan robotik, kanak-kanak, guru serta ibu bapa juga menikmati pameran oleh D'Virtual Park, MDEC, MyTutor, Petrosains, Pickiddo dan Project Mika. - DagangNews.com








