Lebih 1,000 pengembara Malaysia pilih percutian lokasi bersejarah - kajian Agoda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 1,000 pengembara Malaysia pilih percutian lokasi bersejarah - kajian Agoda

Jonker Walk, Melaka
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Lebih daripada 1,000 pengembara di Malaysia mendedahkan tiga aktiviti percutian Hari Raya paling disukai untuk dilawati, antaranya mercu tanda budaya di sesebuah negeri, menurut kajian Agoda.

 

Platform tempahan dalam talian itu dalam kenyataan berkata, Tinjauan Trend Percutian Keluarga Global Agoda itu turut menyenaraikan percutian di pantai dan taman tema antara yang paling disukai oleh pengembara di Malaysia.

 

Katanya, Hari Raya Aidilfitri adalah satu perayaan yang penting bagi umat Islam di seluruh dunia dan lazimnya menjadi masa untuk keluarga berkumpul dan meluangkan masa bersama-sama. 

 

"Dengan adanya variasi aktiviti untuk dipilih, ia pastinya menjadi satu cabaran untuk memutuskan destinasi pilihan.


 
"Aktiviti-aktiviti ini menawarkan pelbagai pengalaman yang pasti menjadikan percutian Hari Raya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan," katanya.

 

Menurut Agoda, dengan adanya sejarah pelbagai budaya yang kaya, Malaysia tidak kekurangan tapak warisan yang mengagumkan. 

 

"Daripada seni bina era kolonial dan warisan budaya yang masih terjaga umpama di muzium, destinasi ini akan memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari tentang sejarah silam negara kita," katanya.

 

 

agoda

 

 

Platform tersebut turut menyenaraikan tempat-tempat bersejarah yang boleh dilawati, antaranya Dewan Perbandaran dan Dewan Bandaraya Pulau Pinang, serta Jonker Walk, Melaka.

 

Selain itu, percutian di lokasi peranginan terkenal seperti Pulau Langkawi, Pulau Sipadan dan Pulau Redang turut disenaraikan untuk pilihan percutian pengembara.

 

Escape Penang dan Genting SkyWorlds turut menjadi pilihan Agoda untuk percutian di taman tema yang menawarkan tarikan serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan. - DagangNews.com