KUALA LUMPUR 13 Dis - Lazada Malaysia dan Resorts World Genting (RWG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) kerjasama jangka panjang sebagai ‘Rakan eDagang Teras’ bagi membawakan pengalaman percutian, hiburan dan membeli-belah yang mengujakan di destinasi yang unik seperti Genting Highland ke platform dalam talian Lazada.
Usaha tersebut pastinya mampu merangsang pertumbuhan dan memacu pemulihan industri pelancongan domestik di Malaysia.
RWG akan menawarkan pakej eksklusif dan tawaran pada harga yang berpatutan in Lazada, dan ia boleh didapati dengan mudah menerusi capaian meluas yang dimungkinkan oleh platform e-dagang.
Para pelanggan di Lazada boleh mendapatkan tiket taman tema dan pakej penginapan hotel, serta e-produk atau e-servis secara digital pada harga istimewa, seperti tiket konsert dan persembahan artis tempatan dan antarabangsa, di samping baucar makanan dan minuman.
Dengan termeterainya MoU tersebut, Lazada turut mengenalpasti RWG sebagai destinasi pilihan untuk acara korporat dan aktiviti 'team building'.
Naib Presiden Eksekutif Ketua Pertumbuhan Pengguna dan Trafik Lazada Malaysia, Rick Ting berkata, kerjasama antara Lazada dan RWG telah bermula sejak Mac 2022 dan pihaknya amat komited untuk membentuk kerjasama jangka panjang ke arah membina semula industri pelancongan domestik.
“Kami amat berbesar hati menjadi Rakan eDagang Teras bagi Resorts World Genting dan dapat bekerjasama mengkonsepsikan tawaran berbeza dan lain dari yang lain, termasuklah pengalaman mengujakan 360 darjah untuk dinikmati pelbagai segmen pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Naib Presiden Kanan Jualan dan Pemasaran Resorts World Genting, Spencer Lee pula berkata, kerjasama ini merupakan pemangkin yang bakal membolehkan pihaknya untuk menjadikan Resorts World Genting lebih dekat dengan para pelanggan.
"Ia juga memudahkan mereka untuk merancang percutian, libur hujung minggu dan aktiviti riang-ria bersama rakan-rakan dan keluarga dengan penuh nyaman di atas awan, di lokasi terintegrasi yang bertaraf antarangbangsa seperti RWG," katanya.
Sempena Jualan Sepuas Hati 12.12 Lazada, kedai rasmi dalam talian Resorts World Genting di LazMall menawarkan pelbagai tawaran eksklusif pada harga istimewa, seperti pakej penginapan hotel merangkumi semua keperluan, tiket taman tema, tiket Awana Skyway dan banyak lagi. - DagangNews.com








