Laporan MyCTOS dengan CCRIS percuma ditawar sempena Hari Kemerdekaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Laporan MyCTOS dengan CCRIS percuma ditawar sempena Hari Kemerdekaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Orang ramai yang mendaftar perkhidmatan semakan kendiri melalui laman web CTOS akan menerima Laporan MyCTOS dengan CCRIS secara percuma, mulai sekarang hingga 31 Ogos ini.

 

Ia adalah sebagai sebahagian daripada inisitif berterusan CTOS untuk memperkasa pengguna menguruskan kesihatan kredit mereka.

 

Kini, lebih daripada 3 juta rakyat Malaysia memulakan langkah menguruskan kesihatan kewangan yang lebih baik dengan mendaftar untuk perkhidmatan semakan kendiri CTOS.

 

Laporan MyCTOS dengan CCRIS memberi maklumat penting tentang kesihatan kredit, termasuk maklumat terperinci hutang, rekod pembayaran bagi kad kredit dan pinjaman, baki akaun dan had kredit, pertanyaan kredit, kes mahkamah kebankrapan dan maklumat syarikat lembaga pengarah seseorang individu, serta hutang bukan bank (rujukan perdagangan). 

 

Institusi kewangan dan peminjam menggunakan maklumat ini semasa menilai permohonan kredit.

 

CTOS telah melaksanakan pelbagai program kecelikan kewangan di seluruh Malaysia untuk meningkatkan tahap literasi kewangan orang awam agar lebih mahir mengurus reputasi kredit mereka. 

 

Ini telah membawa kepada pemahaman yang lebih mendalam di kalangan pengguna Malaysia mengenai kepentingan menjalankan semakan kendiri untuk terus mengawal kesihatan kredit mereka, serta memastikan perancangan kewangan yang baik dan lebih akses kepada kredit. 

 

Hasilnya, skor kredit purata penduduk Malaysia meningkat sebanyak 15 mata dari 663 pada tahun 2020 kepada 678 pada tahun 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Bhd, Erick Hamburger berkata, pihaknya memainkan peranan penting dalam mempromosikan amalan kesihatan kredit yang asas. 

 

Beliau berkata, kesihatan kredit merupakan aspek penting kesejahteraan kewangan. 

 

"Ia mempengaruhi keupayaan untuk mendapatkan pinjaman, mendapatkan kadar faedah yang lebih baik, dan turut mempengaruhi pelbagai peristiwa penting dalam kehidupan seperti membeli kereta atau membeli rumah. 

 

"Dengan memantau laporan kredit secara berkala, menangani ketidak tepatan, dan mengamalkan tabiat kredit yang bertanggungjawab, pengguna boleh secara proaktif mengukuhkan kewangan masa depan mereka," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Untuk maklumat lanjut tentang kesihatan kredit dan untuk mendaftar untuk perkhidmatan semakan diri CTOS dan menerima Laporan MyCTOS dengan CCRIS percuma, layari https://ctoscredit.com.my/freeccris2023/ hari ini.  - DagangNews.com