KUALA LUMPUR 30 Julai - Hanya 16 penerbangan sehari melibatkan pesawat penumpang komersial berenjin jet dengan kekerapan sejam sekali dibenarkan beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, memandangkan Lapangan Terbang Subang berada tidak jauh daripada kawasan perumahan, waktu operasi penerbangan melibatkan pesawat penumpang jet seperti Airbus 320 dan Boeing 737 adalah dari 6 pagi hingga 10 malam.
Katanya, enam syarikat penerbangan termasuk Fire Fly, Batik Air, Air Asia, Trans Nusa dan Scoot bakal terlibat setelah pesawat jet penumpang dibenarkan kembali beroperasi di Subang selepas 22 tahun.
"Batik Air ke Pulau Pinang menjadi pesawat jet pertama (selepas 22 tahun) yang bakal berlepas dari Lapangan Terbang Subang pada 1 Ogos ini manakala ketibaan pertama ialah Trans Nusa dari Jakarta.
'Sukacitanya, saya umumkan Lapangan Terbang Subang bersiap sedia untuk mengendalikan operasi penerbangan komersial pesawat jet berbadan sempit penumpang," katanya pada sidang media di Subang hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: LTSAAS Subang kendali 3 juta penumpang setahun sebaik pesawat jet komersial kembali beroperasi
Beliau sebelum itu meninjau persiapan Malaysia Arports Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat penerbangan terlibat dalam mengendalikan operasi pesawat penumpang jet dari LTSAAS, Subang.
Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, LTSAAS Subang sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk mengendalikan operasi pesawat jet dan juga aspek pertambahan penumpang.
Katanya, kembalinya operasi pesawat jet di Subang akan menyaksikan pertambahan penumpang kepada 3 juta penumpang setahun berbanding 1.5 juta setahun sekarang.
Ujar beliau, pesawat turbo prop yang dikendalikan ke pelbagai destinasi tempatan dan antarabangsa akan terus beroperasi di Subang meskipun pesawat jet Kembali dibenarkan di Subang.
"Sebab itu akan ada ruang berasingan antara penumpang domestik dan antarabangsa. Ini melibatkan kerjasama semua seperti Jabatan Imigresen yang menambah kaunter dan kakitangan di Subang.
"Begitu juga kemudahan pengendalian bagasi yang juga ditambah yang kesemua insiatif ini bagi memastikan segalanya berjalan lancar apabila pesawat jet mula beroperasi di Subang," jelasnya.

Dalam hal ini, Siew Fook berkata, simulasi penuh telah dijalankan di LTSAAS dan beliau berpuas hati tindakan yang dibuat untuk menerima pertambahan penumpang.
Katanya, antara sebab mengapa hanya 16 pesawat jet sahaja dibenar beroperasi di Subang sehari di sebalik banyak permintaan yang diterima adalah bagi mengelakkan lambakan penumpang di terimal mahu pun kesesakan di bahagian luar terminal.
''Kita mahukan pergerakan cepat dan lancar di LTSAAS, Subang sebagai lapangan terbang bandar. Lagi pun, ini adalah fasa interima melibatkan tempoh tiga tahun.
"Ini pun kita sudah tambah beberapa kemudahan," antaranya kata beliau kaunter daftar masuk, bagasi, skrin maklumat penerbangan dan lain-lain.

Tambahnya, beliau juga akan membawa kepada Kabinet kerpeluan kemudahan autogate imigresen di LTSAAS, Subang.
"Saya percaya ramai tertunggu menjelang 1 Ogos, Khamis ini yang bakal memberi satu nafas baru kepada Lapangan Terbang Subang dan industri penerbangan kita," ujarnya. - DagangNews.com







