Langkah Sime Darby Plantation selesaikan isu WRO beri tekanan kepada pemain industri lain - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Langkah Sime Darby Plantation selesaikan isu WRO beri tekanan kepada pemain industri lain - RHB Investment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Feb - Penarikan semula perintah tahan pelepasan (WRO) terhadap minyak sawit Sime Darby Plantation Bhd. dilihat akan memberi tekanan kepada pemain industri lain untuk mengikut langkah yang diambil syarikat perladangan gergasi itu dalam menyelesaikan isu terbabit. 

 

Pada 3 Februari lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) membenarkan pengimportan minyak sawit dari Sime Darby Plantation ke AS berkuat kuasa serta-merta selepas mengubah notis penemuannya mengenai buruh paksa terhadap SDP. 

 

Agensi itu juga menyatakan bahawa SDP memperkenalkan beberapa perkara dalam industri sebagai sebahagian daripada komitmennya yang diperbaharui termasuk pembayaran balik yuran pengambilan pekerja yang mungkin telah dibayar oleh bekas pekerja semasa dan yang layak untuk mendapatkan pekerjaan dengan SDP yang melanggar dasar yuran pengambilan sifar.

 

RHB Investment Research optimis dengan perubahan yang dibuat terhadap operasi Sime Darby Plantation adalah kekal dan akan menjadi contoh kepada seluruh industri.

 

Katanya, dengan mengambil kira betapa teruknya isu yuran pengambilan dalam industri, inisiatif kumpulan itu untuk menghubungi pekerja sedia ada dan lama untuk membayar balik yuran pengambilan akan menjadi contoh kepada syarikat perladangan lain untuk mengikuti dan membayar balik pekerja.

 

"Oleh itu, langkah yang diambil Sime Darby Plantation ini secara tidak langsung akan memberi tekanan kepada industri dan meningkatkan kos. 

 

"Kumpulan secara keseluruhan telah membelanjakan sebanyak RM140 juta untuk melaksanakan proses ini dalam usaha menarik balik larangan CBP AS," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

CBP AS telah meminta Sime Darby Plantation untuk menyelesaikan pembayaran yang dibuat kepada pekerjanya yang tidak aktif menjelang akhir tahun ini.

 

Ini membabitkan usaha kumpulan meneruskan inisiatifnya untuk menghubungi semua pekerja terdahulunya yang mungkin telah membayar yuran pengambilan sehingga akhir Jun 2023.

 

Setakat ini, ia telah membayar balik 38% daripada tenaga kerjanya. Sebagai panduan, purata bayaran pengambilan yang dibayar kepada pekerja dari Nepal adalah sekitar RM5,400, manakala bayaran kepada pekerja Indonesia adalah sekitar RM1,100.

 

Menurut RHB Investment, Sime Darby Plantation optimis terhadap pengubahsuaian WRO akan meningkatkan hasil daripada pelanggannya di AS.

 

Negara itu sebelum ini membentuk sekitar 5% daripada hasil, manakala premium yang dibayar untuk minyak yang diperakui di AS adalah sekitar AS$20 satu tan.

 

"Kumpulan menjangkakan ia dapat menyambung semula eksportnya ke AS sekali lagi, dengan harapan mampu menarik lebih ramai pelanggan yang sanggup membayar premium untuk minyaknya yang diperakui secara mampan," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Sime Darby Plantation dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada RM4.80 sesaham.

 

Setakat 11.04 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM4.31 dengan 86,400 saham diniagakan. - DagangNews.com