Langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan tidak jejas keselamatan negara - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan tidak jejas keselamatan negara - PM

PUTRAJAYA 19 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah penjimatan perbelanjaan yang diambil kerajaan tidak akan menjejaskan aspek keselamatan negara.

 

Beliau menegaskan aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan negara dan projek seperti pembinaan kem atau berkaitan kawalan sempadan tidak akan terjejas.

 

“(Aspek) keselamatan tidak akan terjejas dengan (penjimatan ini), keselamatan tetap diberi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN22) dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022 di sini hari ini.

 

Pada Sabtu (16 Julai), dilaporkan kerajaan akan menyusun semula peruntukan bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 5% penjimatan daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022 bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.

 

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan memuktamad dan mengeluarkan Waran Sekatan bagi memaklumkan jumlah peruntukan yang akan dikurangkan.

 

Menurut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia - Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang  dikeluarkan, MOF berkata ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik antarabangsa serta kenaikan mendadak harga komoditi global dan makanan telah mengakibatkan tekanan inflasi yang tinggi, Bernama melaporkan.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Ismail Sabri berkata, perincian lanjut mengenai langkah penjimatan perbelanjaan yang akan dilaksanakan itu akan diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. - DagangNews.com