KUALA LUMPUR 16 Dis - Lagenda Properties Berhad dengan kerjasama Bina Darulaman Berhad membuka peluang kepada golongan muda untuk membeli dan memiliki rumah pertama mereka.
Fasa pertama perbandaran Darulaman Lagenda, yang terdiri daripada 282 unit rumah teres mampu milik, telah habis dijual sepenuhnya dalam masa beberapa hari selepas pelancarannya.
Permintaan yang kukuh itu adalah hasil sokongan yang menggalakkan daripada generasi muda, dengan data jualan menunjukkan bahawa 53% pembeli berumur antara 20 hingga 30 tahun manakala 41% pembeli adalah dari kumpulan umur 31 hingga 40 tahun.
Ditawarkan pada harga bermula daripada RM200,000 seunit untuk Fasa 1, Darulaman Lagenda merupakan perbandaran mampu milik terbesar di Kedah terletak di lokasi strategik berdekatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Ia juga berhampiran Hospital Sultan Abdul Halim dan Hospital Pantai Sungai Petani, pusat beli-belah dan institusi pendidikan dari peringkat prasekolah hingga menengah termasuk Sekolah Kebangsaan Sungai Lalang, Sekolah Menengah Kebangsaan Aman Jaya dan Sekolah Antarabangsa Regent.
Pengarah Urusan Lagenda, Datuk Jimmy Doh berkata, pemilikan rumah hari ini sangat mencabar dan mereka melihat semakin ramai orang bergelut untuk memiliki rumah sendiri.
"Inilah sebabnya mengapa dalam membangunkan rumah kami, kami melakukan yang terbaik bagi memastikan kumpulan berpendapatan rendah hingga pertengahan mampu membelinya. Ini terbukti melalui sambutan luar jangkaan untuk Fasa 1 Darulaman Lagenda serta demografi pembeli kami.

"Sebagai contoh, 73% pembeli kami adalah dari Kedah dan Pulau Pinang, 80% adalah kakitangan kerajaan, dan 97% adalah Bumiputera. Memandangkan Fasa 1 kini habis dijual dalam masa kurang dari seminggu, kami yakin kami berjaya mengurangkan sedikit krisis kemampuan di kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jimmy berkata, harga Darulaman Lagenda adalah sepadan dengan kemampuan masyarakat sekitar seperti yang ditunjukkan oleh peratusan tinggi pembeli dari Kedah dan Pulau Pinang.
Katanya, kemampuan ini disokong lagi oleh insentif dan inisiatif kerajaan yang turut memberi motivasi kepada penjawat awam serta pembeli muda untuk membuat pelaburan jangka panjang di perbandaran itu.

Bertujuan untuk menyokong agenda kerajaan bagi memastikan bekalan rumah mampu milik yang konsisten bagi kategori B40 dan M40, kini Fasa 2 telah dilancarkan dan dijangka mendapat respons positif yang kukuh berasaskan titik harga rendah serta lokasi ideal.
Lagenda kekal komited kepada matlamatnya untuk melancarkan sekurang-kurangnya satu perbandaran baharu setiap tahun dan sedang mengembangkan lingkungannya secara agresif bagi membolehkan rakyat Malaysia merealisasikan impian pemilikan rumah mereka. - DagangNews.com








