KWSP lulus resolusi tamat, bubar Alpha REIT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP lulus resolusi tamat, bubar Alpha REIT

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Dis - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebagai pemegang unit tunggal Alpha Real Estate Investment Trust (REIT) mengambil keputusan untuk menamatkan dan membubarkan REIT patuh syariah tidak tersenarai.

 

Alpha REIT Managers Sdn. Bhd. dalam kenyataan berkata, keputusan itu telah diambil oleh KWSP atas kehendaknya sendiri dan atas budi bicara mutlaknya.

 

"Pelan pelaksanaan proses penggulungan akan disediakan oleh penasihat yang dilantik, dengan berunding dengan pemegang amanah dan pengurus Alpha REIT, tertakluk kepada kelulusan KWSP.

 

"Syarikat akan menyediakan maklumat terkini mengenai proses penggulungan dalam masa terdekat," katanya hari ini.

 

Proses penggulungan akan melibatkan pelupusan semua aset dan hartanah Alpha REIT mengikut surat ikatan amanah Alpha REIT dan garis panduan REIT Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

KWSP telah memutuskan untuk memohon dan mengadakan mesyuarat pemegang unit pada 16 Disember lalu, di mana satu resolusi khas telah diluluskan untuk menamatkan dan membubarkan Alpha REIT.

 

Sejak penubuhannya pada 2017, Alpha REIT berkembang dan mampu memberi jumlah pulangan dengan hasil melebihi 6% untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

Syarikat telah berjaya mengatasi prestasi pasaran selain mengurangkan tekanan dalam tempoh dua tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

 

Dua daripada asetnya turut memenangi Anugerah Pengurusan Harta dan Mampan Terbaik EdgeProp Malaysia 2021.

 

Menurut Alpha REIT Managers, pajakan/penyewaan jangka panjang aset Alpha REIT sedia ada akan kekal utuh sepanjang proses pelupusan dan tidak akan memberi kesan kepada operasi institusi pendidikan di bawah portfolionya.

 

"Kami berbangga kerana telah mewujudkan hubungan kerja yang baik dengan semua pihak berkepentingan Alpha REIT sejak ditubuhkan," katanya. - DagangNews.com