KSM akan bekerjasama dengan UK perkasakan TVET | DagangNews Skip to main content

KSM akan bekerjasama dengan UK perkasakan TVET

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah naungannya dengan mengadakan kolaborasi dengan pihak luar seperti United Kingdom (UK) dalam usaha memantapkan lagi pendidikan tersebut di Malaysia.

 

KSM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kolaborasi berkenaan dilihat penting untuk membuat perbandingan amalan terbaik terutamanya dari aspek tadbir urus pengurusan dan pembelajaran TVET di negara tersebut.

 

Jelasnya, terdapat dua jabatan yang bertindak sebagai badan kawal selia dan penyedia latihan TVET iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Jabatan Tenaga Manusia (JTM), di bawah kementerian itu.

 

"Aspek seperti pemantauan terhadap badan pentauliahan TVET, skim perantisan serta mekanisme pembiayaan, pertandingan kemahiran dan kelayakan serta kemahiran tenaga pengajar TVET di bawah naungan KSM perlu diperkasakan untuk memertabatkan pendidikan TVET khususnya di bawah naungan KSM. 

 

"Ini kerana TVET merupakan platform utama dalam melahirkan pekerja tempatan yang berkemahiran," katanya.

 

Terdahulu, KSM telah mengadakan satu perbincangan dengan pihak Office of Qualifications and Examinations Regulation (OFQUAL) dan UK Skills Partnership semasa siri lawatan kerja Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan ke London, UK.

 

BACA JUGA: TVET dijadikan pilihan utama bagi penuhi keperluan industri - PM

 

OFQUAL adalah satu badan kawal selia yang menilai kelayakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di UK dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen negara tersebut, manakala UK Skills Partnership adalah kumpulan penyedia latihan TVET di UK termasuk di luar negara. - DagangNews.com