KPPK melalui LKTN akan terus berusaha majukan industri kenaf - Zuraida | DagangNews Skip to main content

KPPK melalui LKTN akan terus berusaha majukan industri kenaf - Zuraida

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan terus mencari langkah terbaik bagi terus memajukan industri kenaf agar terus menyumbang kepada pembangunan komoditi negara.

 

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, penghasilan tuaian batang kenaf merekodkan jumlah yang memberangsangkan dengan hasil sebanyak 6,450 tan melibatkan 934 orang penanam di seluruh Malaysia pada 2020.

 

"Selain itu, penghasilan biji benih berkualiti telah dihasilkan sejumlah 54.72 tan melibatkan 127 orang penanam kenaf bagi 2020.

 

"Tahun 2021 menyaksikan Malaysia masih dalam fasa pandemik dan industri kenaf turut terkesan. 

 

"Bagaimanapun hasil jualan domestik masih mampu mencapai nilai jualan sebanyak RM4.23 juta dan nilai eksport natural fiber ialah RM2.46 juta," katanya ketika menyempurnakan Anugerah Penanam Kenaf Jaya Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, hari ini.

 

Anugerah itu merupakan pengiktirafan kepada penanam kenaf yang memberikan komitmen tinggi dan sebagai galakan kepada penanam untuk mempertingkatkan lagi hasil dan kualiti secara berterusan pada masa hadapan.

 

zuraida

 

Anugerah Penanam Kenaf Jaya Tahun 2020 bagi Hasil Pengeluaran Batang Kenaf dimenangi oleh Ibrahim Majid di tempat pertama, diikuti oleh Hasnida Abdullah dan Sharhiraida Shafie. 

 

zuraida

 

Bagi Anugerah Hasil Pengeluaran Fiber Premium menjadi milik Muhammad Rahman Taha dari Pahang di tempat pertama diikuti oleh Mat Ghani Husain, Kelantan dan Zulkifli Yusof, Pahang.

 

zuraida

 

Anugerah Hasil Pengeluaran Benih Kenaf dimenangi oleh Solehah Saleh, Kedah, diikuti oleh Abd Aziz Hassan@Yahya, Kedah dan Muhammad Izhan Abu Bakar, Perlis.  - DagangNews.com