KPower perjelas pelupusan saham yang dibuat Grand Deal Vision | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPower perjelas pelupusan saham yang dibuat Grand Deal Vision

KUALA LUMPUR 4 Feb - KPower Bhd. menerusi pindaan makluman di Bursa Malaysia hari ini, menjelaskan pelupusan saham oleh Grand Deal Vision Sdn. Bhd. dibuat menerusi transaksi perniagaan secara langsung (DBT). 

 

Ini susulan daripada makluman yang dibuatnya semalam, bahawa langkah pelupusan saham itu dibuat secara jualan paksa (force sell).

 

"Sebab perubahan ini adalah pelupusan melalui DBT dan bukannya jualan paksa dalam pengumuman sebelumnya," jelasnya merujuk kepada makluman berkenaan.

 

Pada Khamis, Grand Deal Vision dilaporkan melupuskan 500,000 saham atau 0.092% pegangan dalam KPower bagi 35 sesaham pada 31 Januari 2022.

 

Urus niaga itu juga mengurangkan kepentingan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan KPower, Mustakim Mat Nun dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Sarah Azreen Abdul Samat.

 

Syarikat penyedia penyelesaian kejuruteraan dan pembinaan itu turut melaporkan Ketua Pegawai Kewangannya, Amirul Afif Abd. Azia melupuskan 650,000 saham atau 0.12% pegangan dalam kumpulan pada 31 Januari 2022. 

 

Data Bloomberg menunjukkan Kenanga Investors Bhd. adalah pemegangan saham terbesar KPower sebanyak 16.3% diikuti Grand Deal Vision (8.52%) dan Mustakim (6.7%). 

 

Pada 14 Disember lalu, Datuk Dr. Ir. Mohd. Abdul Karim Abdullah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas KPower berkuat kuasa serta-merta.

 

Susulan itu, pada 13 Januari lalu, Abdul Karim yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Holdings Bhd. melepaskan 79.05 juta sahamnya dalam syarikat tersebut dan bukan lagi merupakan pemegang saham utama.

 

Dalam penutupan petang ini, saham KPower susut 1 sen atau 2.78% kepada 35 sen dengan 3.3 juta saham diniagakan. - DagangNews.com